Harian Metro

Asuh anak jadi insan baik bukan robot

-

Allah berfirman yang bermaksud: “Allah meninggika­n orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahua­n beberapa darjat.” (Surah al-Mujadalah, ayat 11)

Sejak akhir-akhir ini, ada beberapa laporan mengenai masalah kemurungan dalam kalangan remaja dan kanak-kanak akibat tekanan akademik.

Sampai satu tahap, kemurungan yang dialami itu menyebabka­n ada yang ingin membunuh diri. Hari ini, kebanyakan anak-anak kita bertungkus-lumus mendapatka­n keputusan akademik yang baik.

Pagi pergi sekolah kebangsaan hingga jam 2 petang. Selepas itu, pulang rumah sebentar untuk solat dan makan tengah hari.

Seterusnya, pergi pula sekolah agama hingga lewat petang. Setibanya di rumah, terus mandi, makan malam dan solat.

Pada malamnya, aktiviti masih berjalan apabila perlu pergi pula kelas tuisyen sehingga jam 10 malam. Sebaik pulang rumah, jika ada kerja rumah diberikan guru, ia perlu diselesaik­an juga.

Begitu seterusnya setiap hari sepanjang minggu. Pada cuti hujung minggu pula, ada aktiviti kokurikulu­m atau seminar peperiksaa­n.

Anak-anak kita sekarang dilihat sudah semakin hilang kebebasan. Mereka tidak ubah seperti robot menyebabka­n mereka hilang jiwa manusiawi.

Barangkali ada yang menjadi pelajar cemerlang di sekolah, tetapi di alam nyata mereka tidak tahu berkomunik­asi dengan cara baik atau apabila bertemu saudara-mara, hendak bersalam pun dilihat kekok.

Adakah itu yang kita mahukan? Ibu bapa menekankan kepada anak-anak supaya belajar bersungguh-sungguh bagi melayakkan mereka diterima masuk sekolah berprestij seperti Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan Sekolah Berasrama Penuh (SBP).

Maka, dengan bangganya kita bercerita pada saudara-mara keputusan hebat anak diterima masuk sekolah berprestij.

Adakah dengan pendidikan yang anak kita peroleh itu menjadikan mereka insan lebih baik? Atau semakin tinggi tahap pendidikan, mereka semakin angkuh?

Tinjau di pusat beli-belah sekitar kawasan institusi pengajian tinggi, kita akan lihat betapa bebas gaya hidup mahasiswa hari ini.

Berapa banyak ilmu yang kita pelajari di sekolah dibawa dalam kehidupan nyata. Sebagai contoh, kita belajar matematik lebih 10 tahun dengan pelbagai bab sukar seperti algebra dan persamaan linear.

Sehingga hari ini, ilmu matematik apa yang kita gunakan? Saya yakin, kebanyakan kita hanya gunakan ilmu tambah, tolak, darab dan bahagi.

Ilmu asas matematik itu selesai ketika kita berada dalam darjah tiga. Seterusnya, tanpa kita sedari, antara tujuan utama pendidikan hari ini adalah untuk mendapat pekerjaan.

Ingat lagi pesanan yang selalu kita terima “Belajar pandai-pandai, nanti dapat kerja bagus, dapat gaji besar.”

Malangnya, kadar penganggur­an semakin meningkat. Belajar bermati-matian untuk mendapatka­n segulung ijazah sejak kecil, akhirnya tidak mendapat pekerjaan sesuai.

Lalu, terima sahaja pekerjaan yang bukan bersandark­an kelayakan akademik dimiliki. Tulisan ini bukan bertujuan anti akademik atau pendidikan formal.

Ia bagi membuka mata, jangan kita terlalu meletakkan tekanan akademik di bahu anak-anak. Asuh mereka menjadi ahli masyarakat

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia