Harian Metro

Taktik elak ‘dihidu’ penguat kuasa

-

Kuala Lumpur: Kegiatan penyeludup­an rokok di kawasan Chow Kit, di sini yang didalangi warga Indonesia dikesan menggunaka­n taktik meletakkan produk itu di kaki lima hadapan premis sebelum diambil peniaga yang membuat pesanan. Ia bertujuan mengelak daripada ditahan pihak berkuasa sekiranya serbuan dilakukan kerana pemilik premis tidak akan mengaku bahawa rokok seludup itu milik mereka.

Serbuan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di beberapa premis di Jalan Raja Alang dan lorong Raja Bot, di sini, kelmarin turut mendapati bahan tembakau itu juga disimpan di bawah meja dan belakang dinding gerai menjual buah-buahan selain disembunyi­kan di dalam beberapa stor.

Skuad Khas Harian Metro dimaklumka­n, sindiket penjualan rokok sengaja meletakkan bahan tembakau itu di lokasi berkenaan bagi mengelakka­n daripada dipersalah­kan jika ia dirampas atau mereka ditahan pihak berkuasa.

Malah, ketika ditahan, suspek mengatakan mereka tidak tahu menahu mengenai rokok ditemui di kaki lima deretan kedai berkenaan atau siapa pemiliknya.

Seminggu sebelum serbuan, Skuad Khas Harian Metro menerima aduan awam mendakwa warga Indonesia berasal dari Aceh yang berstatus Penduduk Tetap (PR) negara ini, berusia 56 tahun menjadi ‘tauke’ rokok seludup di Jalan Raja Bot dengan memonopoli penjualan bahan tembakau berkenaan.

Individu itu berlagak

‘kebal’ kerana berani melakukan penjualan secara terbuka dalam jumlah besar di kawasan berkenaan.

Bagi memastikan kesahihan dakwaan itu, wartawan Skuad Khas Harian Metro melakukan risikan di kawasan berkenaan.

Hasil pemerhatia­n mendapati, dalang utama menerima bekalan rokok seludup hampir setiap hari yang dipunggah menggunaka­n pelbagai jenis kenderaan.

Rokok yang dihantar dari Johor dan Selangor itu akan ditinggalk­an di kaki lima sepanjang deretan kedai berkenaan.

Pemerhatia­n mendapati rokok ditinggalk­an di kaki lima langsung tidak diusik orang ramai melalui kawasan terbabit.

Kemudian stok bahan tembakau itu dipindahka­n ahli sindiket ke dalam stor di bahagian belakang deretan kedai itu selepas tamat waktu perniagaan sekitar jam 10 malam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia