Harian Metro

Tertembak rakan disangka burung

-

Seorang lelaki tertembak rakannya yang disangka burung ketika memburu di hutan berhampira­n Lubuk Nabau, Sungai Sut di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, mangsa berusia 26 tahun terbabit maut akibat terkena peluru penabur pada bahagian muka dan telinga kanan.

Ketua Polis Daerah Kapit, Deputi Superinten­dan Freddy Bian berkata, ketika berburu di kawasan hutan itu, lelaki berusia 30 tahun itu berpecah dengan mangsa sebelum terlihat bayangan yang disangka burung.

Katanya, suspek yang menggunaka­n senapang patah terus melepaskan tembakan sebelum dikejutkan jeritan mangsa.

“Sebaik tembakan dilepaskan, suspek terdengar jeritan sebelum bergegas mencari suara itu.

“Suspek terkejut selepas mendapati rakannya terbaring dalam keadaan berlumuran darah,” katanya ketika dihubungi di sini, kelmarin.

Beliau berkata, suspek kemudian menaiki perahu ke rumah panjang untuk memaklumka­n bapanya mengenai kejadian.

Katanya, bapa suspek bersamanya kemudian kembali ke lokasi dan mendapati mangsa sudah meninggal dunia.

“Mangsa dibawa menaiki sampan sebelum dihantar ke Hospital Kapit, manakala suspek membuat laporan polis berhubung kejadian.

“Selepas membuat laporan polis berhubung kejadian, suspek ditahan, manakala senapang patah yang digunakan dirampas untuk siasatan lanjut,” katanya.

Freddy berkata, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana dengan cuai mengakibat­kan kematian.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia