Penentuan harga barang kawalan tiada kaitan SST
Pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) tidak memberi kesan kepada penentuan harga 16 barang di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan menjelang sambutan Deepavali, 6 November ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ada beberapa faktor lain mempengaruhi turun naik harga barang berkenaan, antaranya cuaca, permintaan dan penawaran serta kadar tukaran wang bagi barangan import.
Beliau berkata, berbanding skim sama tahun lalu, ada barangan mengalami kenaikan dan penurunan harga, malah ada juga kekal.
“Antara harga barangan menaik harga adalah telur iaitu naik satu sen sebiji, tomato yang dibawa dari Cameron Highlands berikutan cuaca tidak menentu serta daging kambing bertulang yang diimport iaitu RM25 sekilogram (kg) berbanding RM24 tahun lalu.
“Faktor turun naik harga barangan ini berbeza, ada dalam kawalan dan di luar kawalan,” katanya pada majlis pengumuman Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Deepavali 2018 di sini, semalam.
Turut hadir, timbalannya, Chong Chieng
Jen.
Beliau berkata demikian mengulas sama ada SST memberi kesan kepada penentuan harga barangan terkawal di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Deepavali.
Skim kawalan harga berkenaan akan berlangsung selama tujuh hari bermula 3 November ini.