KEJAYAAN TERBUKTI
Pengeluar kereta Jerman diberi peluang sertai projek kereta nasional ke-3
Kerajaan membuka peluang kepada pengeluar kereta Jerman untuk menyertai projek kereta nasional ketiga, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Ong Kian Ming.
Beliau berkata, ketika ini terdapat banyak syarikat automotif Jerman yang beroperasi di Malaysia dan kebanyakannya berjaya mengeluarkan kereta secara pemasangan tempatan dengan menggunakan banyak komponen tempatan.
“Ia jelas menunjukkan kejayaan diraih mereka di Malaysia dan sekiranya ada yang berminat untuk meneroka peluang dalam projek kereta nasional ketiga, kami terbuka untuk mendengar sebarang cadangan.
“Sama ada ketika ini sudah ada syarikat automotif Jerman yang menyerahkan cadangan mereka kepada kementerian, (pengumumannya) perlu ditunggu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan prapelancaran Pusat Kecemerlangan Asia untuk Teknologi Pintar (ACES) Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan kerjasama pelaburan dan dagangan Malaysia-Bavaria di Menara MITI, di sini, semalam.
Turut hadir, Duta Jerman ke Malaysia Nikolaus Graf Lambadorff dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) Datuk Seri Jebasingam Issace John.
Mengulas perkara sama, Lambadorff berkata, mungkin ramai yang tidak tahu, banyak kereta Jerman yang berada di atas jalan raya di Malaysia dihasilkan di negara ini.
“Saya tahu sekurang-kurangnya empat pengeluar kereta Jerman yang mahu mengembangkan operasi mereka di Malaysia dan mahu meningkatkan pengeluaran di sini.
“Mereka bukan saja mahu meneroka pasaran di Malaysia, malah di negara ASEAN. Namun, saya masih belum bercakap dengan mereka (mengenai projek kereta nasional ketiga), jadi saya tidak tahu (maklum balas mereka),” katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai ACES, Jebasingam berkata, kerajaan melabur RM12 juta dalam menyediakan bangunan dan kemudahan untuk pusat kecemerlangan itu yang akan mula beroperasi pada awal tahun depan.
“Penubuhan ACES selari dengan aspirasi kerajaan dalam menghasilkan ekonomi berpacukan produktiviti dan pusat ini bukan hanya untuk di Pahang, malah di seluruh negara dan ASEAN,” katanya.