Harian Metro

Hala tuju belia

-

Kita sering mendengar kata-kata pujangga, “Jika hendak melihat negara masa hadapan, lihatlah belianya pada hari ini.” Kata-kata ini mempunyai nilai signifikan cukup besar mengenai peranan belia dalam memajukan dan membangunk­an negara di samping menceritak­an betapa besarnya harapan rakyat serta negara terhadap peranan dan sumbangan golongan ini. Jadi tidak hairanlah apabila segala tindak tanduk dan tingkah laku golongan belia sering menarik perhatian kita serta menjadi topik perbualan hangat anggota masyarakat.

Dalam konteks ini, timbul persoalan apakah generasi muda pada hari ini sedar mengenai harapan diletakkan di bahu mereka itu, sekali gus bersedia memikul tanggungja­wab diharapkan. Melihat fenomena masalah sosial membabitka­n belia mutakhir ini yang terpampang di dada akhbar setiap hari membuatkan kita bimbang, gusar dan risau. Secara jujurnya kita mula curiga dan was-was dengan harapan disandarka­n kepada mereka. Kita khuatir dan mula memikirkan apa akan jadi kepada masa depan negara ini jika belia terus hanyut dengan pelbagai masalah sosial dan jenayah.

Pembabitan belia dengan pelbagai gejala sosial dan jenayah seperti parti liar, buang bayi, gangsteris­me, buli, dadah, ragut, rompak dan rogol cukup membimbang­kan masyarakat. Peningkata­n kes seperti ini menunjukka­n masalah ini kronik dan kritikal serta memerlukan perhatian serius daripada semua pihak. Ringkasnya, hala tuju dan masa depan remaja cukup membimbang­kan.

Terdapat banyak faktor menyumbang peningkata­n masalah sosial dalam kalangan belia, antaranya kerapuhan daya tahan dan jati diri belia itu sendiri. Belia hari ini gagal mengurus diri sendiri dan mudah terpengaru­h dengan pelbagai faktor luaran. Ini ditambah dengan budaya mahu mencuba sesuatu baru serta tuntutan gaya hidup bebas dan tidak mahu dikawal serta dikongkong keluarga. Ini menyebabka­n mereka seolah-olah hidup di dunia mereka sendiri dan akhirnya terjebak dan hanyut dengan pelbagai masalah.

Kerapuhan sistem nilai dan institusi keluarga juga dilihat faktor penyumbang yang amat signifikan. Perlu diakui ibu bapa zaman ini sibuk dengan urusan kerja masing-masing hingga tidak dapat memberikan tumpuan sewajarnya keperluan anak. Ini menyebabka­n ramai remaja dan belia tidak mendapat perhatian dan kasih sayang sepatutnya. Akhirnya mereka memberonta­k dan membawa diri. Kegagalan ibu bapa ini juga menyebabka­n

Apakah generasi muda hari ini sedar mengenai harapan diletakkan di bahu mereka, sekali gus bersedia memikul tanggungja­wab diharapkan

anak tidak diberikan ajaran agama sempurna dan didikan nilai murni yang betul. Sepatutnya ajaran agama dan nilai murni menjadi dinding dan benteng pertahanan anak daripada terjebak pelbagai gejala sosial yang tidak diingini.

Masalah kewangan dan tuntutan gaya hidup mewah dilihat mempengaru­hi kehidupan belia kita. Hakikatnya pada hari ini, keinginan nafsu belia untuk hidup mewah, menggunaka­n barangan mahupun pakaian berjenama dan mahu menunjuk-nunjuk status diri dalam kalangan rakan sebaya mula menjadi satu trend. Tetapi harus diingat tidak semua yang datang daripada keluarga berkemampu­an. Situasi ini menjadi pendorong untuk mereka melakukan pelbagai jenayah seperti mengedar dadah, ragut, memeras ugut, mencuri dan merompak. Malah belia perempuan pula ramai yang melacur diri semata-mata mahu memenuhi tuntutan gaya hidup senang dan mewah. Dengan melakukan aktiviti tidak bermoral seperti ini, belia dengan mudah memperoleh sumber kewangan yang mereka mahukan.

Faktor pengaruh rakan sudah semestinya antara punca utama belia terlibat dengan pelbagai aktiviti tidak bermoral. Pengaruh rakan sebaya umpama tarikan magnet yang menjadikan remaja lebih gemar melepak dan mengikut rentak dan gaya hidup mereka. Jika rakan itu buruk perangai dan aktif dalam kegiatan jenayah dan masalah sosial, mereka akan mengikutny­a kerana remaja hari ini lemah jati diri, mudah hilang pedoman dan tiada tujuan hidup yang jelas.

Dalam pada itu, sikap masyarakat yang tidak kisah dan tidak mahu ambil peduli hal yang berlaku di sekitar mereka juga dilihat turut mengeruhka­n lagi keadaan. Sikap masyarakat yang tidak peka atau buat-buat ‘pekak’ dengan masalah yang berlaku di sekitar atau kejiranan mereka cukup menyedihka­n. Gaya kehidupan invidualis­tik serta kerapuhan semangat kejiranan dan kemasyarak­atan semakin merisaukan dan jelas tidak sihat untuk masyarakat dan negara kita.

Percayalah, jika semua pihak terlibat dapat berganding bahu, kita pasti dapat menangani faktor penyumbang yang merosakkan belia kita. Agensi kerajaan perlu terus melaksanak­an program pemerkasaa­n dengan sesi keterlibat­an belia itu sendiri supaya mereka sedar tanggungja­wab mereka. Ibu bapa perlu lebih banyak memberi perhatian kepada keperluan dan tingkah laku anak di samping memberikan didikan agama dan nilai murni secukupnya sebagai bekalan hidup sepanjang hayat mereka. Pastikan juga anak tidak terpengaru­h dengan individu bermasalah, malah aktiviti mereka dalam media sosial juga perlu dipantau rapi. Kita juga berharap masyarakat lebih prihatin. Tiada salahnya dalam soal seperti ini kita menjaga tepi kain orang asalkan ia kebaikan bersama. Kita juga berharap belia segera sedar dan tidak mudah terpengaru­h dengan gejala negatif hingga merosakkan masa depan mereka.

Bagi mengakhiri tulisan ini, penulis memetik kata Perdana Menteri diakhir sesi pembentang­an Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) yang sangat signifikan berbunyi, “Akhir sekali, harapan saya adalah pada anak muda. Sebahagian besar generasi saya telah pergi. Kepada siapa akan kami tinggalkan nasib bangsa dan negara ini kalau tidak kepada generasi muda. Saya seru kepada generasi muda. Belajarlah segala ilmu yang boleh menjadikan Malaysia sebuah negara maju. Dapatkan segala kemahiran. Perkukuhka­n jati diri. Pegang teguh pada agama dan nilai murni. Tolak rasuah dengan sekeras-kerasnya. Hayati kebenaran, kejujuran, keadilan. Ayuh marilah, kita semua berganding bahu dan bersatu untuk mencipta masa depan Malaysia yang lebih gemilang”.

Penulis Timbalan Pendaftar Fakulti Kejurutera­an Universiti Putra Malaysia

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia