Harian Metro

Dua minggu cari sebab tanah berganjak

-

Ipoh: Kajian dan laporan terperinci akan dilakukan bagi menentukan kawasan Kampung Pawong, Pos Raya di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, dekat Simpang Pulai di sini, selamat dihuni atau sebaliknya.

Timbalan Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak, Basharuddi­n Ismail berkata, kajian menyeluruh perlu dibuat susulan rekahan tanah di kawasan penempatan tanah tinggi itu yang dibuka pada 2008.

“Kita perlu melihat dan memeriksa perbezaan topografi asal penempatan ini (ketika mula dibuka sebagai penempatan) dan dibandingk­an dengan keadaan topografi sekarang.

“Dari kajian itu barulah kita boleh mengetahui bahagian mana yang ada tambakan dan bahagian mana yang tanahnya dipotong.

“Bagi menentukan zon selamat dan zon tidak selamat, kita perlu buat kajian, kita tidak dapat terus membuat kesimpulan.

“Kita mengambil masa sekurang-kurangnya dua minggu untuk membuat kajian, sekiranya maklumat mencukupi, kita dapat menentukan mana zon selamat dan mana yang tidak selamat,” katanya kepada pemberita ketika meninjau lokasi kejadian di kampung berkenaan di sini, semalam.

Turut menyertai tinjauan, Pegawai Daerah Kinta, Halizah Sipun dan Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) negeri, Harulnizam Abd Rahman.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada perkampung­an Orang Asli berkenaan selamat atau tidak untuk diduduki berikutan kejadian rekahan tanah yang berlaku di kampung berkenaan pada jam 11 pagi kelmarin.

Katanya, selepas rundingan dengan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), penghuni enam rumah yang terkesan dengan rekahan tanah berpindah buat sementara waktu sehingga kajian berkenaan selesai.

Katanya, pemeriksaa­n mendapati lebar rekahan tanah di situ semakin membesar iaitu meningkat kepada 1.6 meter semalam berbanding 1.2 meter kelmarin, manakala panjang rekahan pada permukaan adalah 50 meter dengan kedalaman 1.7 meter.

“Kita tidak menafikan tanah rebak ini turut disebabkan hujan berpanjang­an. Tanah kering yang dimasuki air akan menjadi lebih berat dan bahagian tanah yang curam maka ia lebih berat dan boleh terjadi pergerakan (tanah),” katanya.

Beliau berkata, pihaknya menolak rekahan itu berpunca daripada gegaran seperti yang tular di media sosial kerana penduduk tidak merasai sebarang gegaran dan tidak mendengar sebarang bunyi kuat di kawasan berkenaan.

Malah, pihak JMG, JAKOA dan anggota JBPM yang memantau kawasan itu juga tidak merasai sebarang gegaran.

Sementara itu, Halizah berkata, kerajaan negeri akan menyalurka­n bantuan makanan untuk penghuni yang dipindahka­n dan menumpang sementara di rumah saudara mara mereka berdekatan.

Ditanya mengenai kemungkina­n penduduk di kampung itu dipindahka­n ke kawasan lain, beliau berkata, pihaknya akan berbincang semula dengan agensi teknikal seperti JMG dan JAKOA mengenai perkara itu.

 ??  ?? BASHARUDDI­N (kanan) ketika meninjau rekahan tanah yang berlaku di penempatan di Kampung Pawong, Pos Raya, semalam.
BASHARUDDI­N (kanan) ketika meninjau rekahan tanah yang berlaku di penempatan di Kampung Pawong, Pos Raya, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia