Harian Metro

Tiada niat tutup rezeki

- Nor Farhani Che Ad cnews@nstp.com.my

„ Pengusaha laksa kebok perlu patuhi segala teguran KKM sebelum boleh berniaga

Pengusaha laksa kebok di Kupang, Baling akan dibenarkan berniaga semula sekiranya mematuhi segala teguran termasuk yang diberikan oleh Kementeria­n Kesihatan Malaysia (KKM).

Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, beberapa teguran berkaitan kebersihan, suntikan tifoid dan pemilik gerai menghadiri kursus yang ditetapkan kepada setiap pengendali makanan.

“Kita tidak ada niat untuk menutup rezeki orang, itu adalah tanggungja­wab dan amanah kita (pihak kesihatan) mengikut Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Makanan 1983.

“Bagaimanap­un, sekiranya pihak Pejabat Kesihatan Daerah Baling berpuas hati dengan tindakan yang diambil oleh pengusaha, mereka akan dibenarkan beroperasi semula,” katanya yang ditemui dalam operasi sihat sekitar daerah ini di sini, semalam.

Media sebelum ini melaporkan gerai laksa kebok diarahkan tutup selama dua minggu sejak kejadian membabitka­n 80 kes keracunan makanan yang dipercayai dibeli di gerai berkenaan, awal bulan ini.

Bagaimanap­un, premis berkenaan belum dibenarkan beroperasi sehingga hari ini. Ahad lalu, KKM mengesahka­n agen penyebab keracunan laksa yang dibeli dari premis berkenaan adalah bakteria Salmonella enterica serovar Weltevrede­n yang dikesan dalam sampel klinikal pesakit dan mi laksa terbabit.

Dr Norhizan berkata, pegawai Pejabat Kesihatan Daerah Baling menjalanka­n pemeriksaa­n ke atas gerai berkenaan sekali lagi semalam bagi memastikan segala teguran dilaksanak­an pengusahan­ya.

“Dalam keadaan berlakunya wabak atau keracunan makanan, kami di pihak kesihatan bertanggun­gjawab memastikan wabak itu tidak terus menular,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kertas siasatan berhubung kes itu akan dilengkapk­an mengikut prosedur ditetapkan untuk tindakan selanjutny­a selepas perbincang­an antara Pejabat Kesihatan Daerah Baling dan Jabatan Kesihatan Negeri.

Mengulas mengenai kuman terbabit Dr Norhizan berkata, laksa berkenaan berkemungk­inan dicemari oleh bakteria ketika proses penyimpana­n mi laksa atau pencemaran daripada luar seperti sayuran.

“Bakteria ini mempunyai proses pengeraman di antara 48 dan 72 jam, oleh sebab itu tanda gejala keracunan pada pesakit ditunjukka­n dua hingga tiga hari selepas memakan laksa berkenaan,” katanya.

 ??  ?? PENGERUSI Jawatankua­sa Kesihatan, Pembanguna­n Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (GLC), Datuk Dr Ismail Salleh (dua dari kiri) berbual dengan pengusaha laksa kebok, Daud Ismail.
PENGERUSI Jawatankua­sa Kesihatan, Pembanguna­n Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (GLC), Datuk Dr Ismail Salleh (dua dari kiri) berbual dengan pengusaha laksa kebok, Daud Ismail.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia