Harian Metro

‘MAIN MACAM BUDAK-BUDAK’

- Agensi

London

Manchester United beraksi seperti ‘budak-budak melawan orang dewasa’ ketika tewas kepada Juventus 0-1 dalam Liga Juara-Juara semalam, kata bekas pemain Rio Ferdinand.

Seorang lagi legenda Red Devils, Paul Scholes pula mengatakan pasukan itu seperti sudah menerima hakikat bahawa mereka tidak cukup bagus untuk bersaing dengan kelab-kelab terbaik dunia.

Skuad kendalian Jose Mourinho mengharapk­an kempen Eropah dapat menutup mulut pengkritik tetapi mereka sekali lagi longlai apabila bertemu lawan yang kuat apabila tewas kepada Juventus menerusi jaringan Paulo Dybala.

Ferdinand percaya prestasi United tidak berada di tahap seperti diharapkan untuk kelab sebesar itu, manakala Juve tidak perlu berusaha begitu kuat untuk membuktika­n kemampuan mereka.

“Jika kamu perlu menggambar­kan perlawanan ini dengan pendek dan padat, jadi ia adalah orang dewasa melawan budak-budak, jika saya perlu berkata dengan jujur,” kata bekas pertahanan United dan England itu.

“Juventus lebih berkualiti dalam segala segi, di setiap posisi permainan, bentuk, bagaimana mereka membawa diri, ketenangan dan kualiti bola.

“Ada perbezaan yang besar di antara kedua-dua pasukan dari sudut kualiti terhadap bola, ketenangan ketika memperoleh bola, pemahaman terhadap pengurusan permainan. Mereka (Juve) layak meraih kemenangan.”

Scholes juga bersetuju dengan sentimen berkenaan dan bagi pemain yang sudah menang segala-galanya bersama United, keputusan yang dicatat pasukan bimbingan Mourinho itu mengecewak­an.

“Mereka (Juve) nampak seperti pasukan yang sudah lama bermain bersama,” kata Scholes dengan bekas pemain United, Cristiano Ronaldo baru saja menyertai kelab itu musim ini.

“Mereka membawa masuk beberapa pemain, tetapi kelas mereka dari sudut teknikal lebih tinggi. Mereka berada satu tahap lebih tinggi berbanding United.

“Perkara yang menyedihka­n adalah wujud perasaan untuk menerimany­a, bukan saja daripada

United dan pemain-pemain, tetapi juga daripada peminat.”

Sebelum membuat kunjungan balas ke Turin dalam tempoh dua minggu, United perlu mengharung­i saingan liga terlebih dulu menentang Everton dan Bournemout­h.

„ Ferdinand kritik aksi United menentang Juventus

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia