Karier Ziyovuddin belum berakhir J
ika dilihat kepada rakaman video perlawanan Malaysia-Tajikistan malam kelmarin, tentu ramai yang terkedu apabila melihat pergelangan kaki pemain tengah Tajikistan, Fuzaylov Ziyovuddin terkulai selepas bertembung dengan pemain negara, Nabil Hakim Bokhari.
Insiden yang berlaku pada minit ke-83 perlawanan itu memang membuatkan ramai penonton menekup muka kerana tidak sanggup melihat tahap kecederaan pemain berusia 18 tahun itu.
Bagaimanapun, jangkaan ramai yang menganggap karier Ziyovuddin pasti meleset selepas ujian imbasan yang dilakukan ke atas pemain berkenaan mendapati sendi buku lali kaki kanannya hanya terkehel dan memerlukan masa selama dua bulan setengah untuk sembuh.
“Menerusi ujian imbasan yang dilakukan, pasukan perubatan mendapati kecederaan dialami Fuzaylov tidak begitu serius.
“Tiada bahagian yang patah, namun sendi buku lali kanannya terkehel. Bahagian yang tercedera sudah dipasang simen.
“Doktor menganggarkan tempoh pemulihannya memakan masa dua bulan setengah,” kata Persekutuan Bolasepak Tajikistan di dalam laman web rasmi mereka, semalam.
Khabar itu sedikit sebanyak pasti melegakan Nabil Hakim kerana sudah tentu dia sendiri tidak mahu dianggap sengaja mahu menamatkan karier Ziyovuddin apatah lagi ia bukan disengajakan.
Yang pastinya, Tajikistan berdepan tamparan hebat berikutan ketiadaan Ziyovuddin menjelang aksi bertemu Arab Saudi pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan kempen Kejuaraan Bawah 19 tahun (B-19) Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2018 yang sedang berlangsung di Indonesia.
Kelmarin, Ziyovuddin yang masuk pada lewat permainan, terpaksa dikejarkan ke hospital serta merta selepas dirempuh Nabil Hakim yang kemudian dilayangkan kad merah.
Perlawanan berakhir dengan keputusan 2-2 sekali gus menyaksikan Tajikistan hanya perlu seri dengan Arab Saudi pada aksi terakhir untuk layak ke suku akhir, manakala Malaysia perlu menang ke atas China untuk menghidupkan peluang.
Doktor sahkan kecederaan pemain Tajikistan tidak serius