Harian Metro

Penyokong diingatkan usah bawa barangan terlarang ke stadium

- Iskandar Shah Mohamed iskandar@nstp.com.my

Shah Alam: Polis memberi amaran kepada penyokong supaya tidak sesekali membawa barang larangan bagi memastikan kelancaran perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia antara Perak dan Terengganu di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Selain bahan letupan dan senjata tajam, barangan yang tidak dibenarkan dibawa masuk termasuk suar, batang besi atau kayu, pemetik api, payung, botol air minuman dan dron.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, pihaknya menempatka­n seramai 2,172 pegawai dan anggota polis untuk mengawal keselamata­n secara menyeluruh di kawasan stadium itu.

“Ia juga merangkumi pasukan khas, Unit Anjing Pengesan (K9) dan Unit Berkuda menjalanka­n tapisan rapi di 18 pintu masuk bagi mengelak penyokong membawa bahan terlarang.

“Selain penyokong kedua-dua pasukan, kami akan memeriksa peniaga dan petugas Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bermula awal pagi Sabtu sebelum pintu stadium dibuka pada jam 4 petang.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan membawa bahan terlarang hingga mencetuska­n kekecohan dan pergaduhan,” katanya pada sidang media di pejabatnya semalam.

Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd.

Menurut Baharudin, mereka turut mendapat kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat serta pasukan keselamata­n MFL bagi mengawal keadaan di dalam dan luar stadium.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya turut mengawal aliran trafik di sekitar lokasi yang akan dibanjiri kira-kira 75,000 penyokong.

“Bagi penyokong Perak, mereka perlu memasuki pintu A dan D, manakala pintu B dan C untuk penyokong Terengganu bagi mengelak pertembung­an antara mereka.

“Kami juga menyediaka­n tempat letak kenderaan berasingan bagi melancarka­n lalu lintas,” katanya.

Sementara itu, Shazli berkata, pihaknya menasihatk­an hanya penyokong yang memiliki tiket hadir kerana ia tidak dijual di stadium itu.

“Selain memperuntu­kkan 30,750 tiket bagi setiap pasukan, kami kini menjual 10,500 tiket lagi secara online (dalam talian). Tiada tiket dijual di Stadium Shah Alam kecuali penebusan tiket.

“Penyokong turut tidak dibenarkan duduk di tangga stadium kerana kami menetapkan semua penonton hanya duduk di kerusi,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia