Harian Metro

Tebus hampa 2011: Faziallah

-

Kuala Terengganu: Bekas pemain Terengganu, Faziallah Mamat mahu menyaksika­n skuad Penyu menamatkan kemarau kejuaraan Piala Malaysia musim ini selepas kali terakhir menjulangn­ya pada 2001.

Faziallah turut menuntut anak buah Irfan Bakti Abu Salim menebus kembali kehampaan musim 2011 apabila mereka tumpas kepada Negeri Sembilan 1-2 pada final di Stadium Shah Alam.

“Sudah begitu lama iaitu 17 tahun piala berprestij itu tidak berada di bumi Terengganu. Sebagai bekas pemain yang menjuarai piala itu buat julung kali dalam sejarah, sudah pasti saya mahu sekali lagi melihat piala itu menjadi milik Terengganu FC.

“Justeru pemain yang akan diturunkan nanti perlu menggunaka­n peluang sebaik mungkin serta beraksi sebagai satu pasukan seperti ketika menumbangk­an Johor Darul Ta’zim, Sabtu lalu,” kata Faziallah yang juga bekas pemain skuad Olimpik negara.

Beliau percaya setiap pemain mahu merakam kenangan paling indah dalam kerjaya dengan memenangi trofi Piala Malaysia.

“Bagaimanap­un tugas itu bukan mudah tapi tidak sukar sekiranya setiap pemain mengikut arahan jurulatih.

“Sebelum melangkah ke dalam padang, setiap pemain perlu meletakkan diri mereka lebih hebat daripada pasukan lawan selain bermain sebagai satu pasukan dan tanamkan semangat cintakan pasukan.

“Pemain juga perlu buktikan gaji yang dibayar selama ini berbaloi sekiranya berjaya menjulang piala dan usah terlalu memikirkan habuan kerana perkara itu akan datang dengan sendiri,” ujar pemain kelahiran Pangkalan Berangan, Marang yang kini memegang jawatan pegawai belia dan sukan di Universiti Sultan Zainal Abidin.

Pada final 2001, Faziallah yang beraksi di sayap kanan berjaya membantu pasukan kendalian

Mat Zan Mat Aris ketika itu muncul juara dengan mengatasi Perak

2-1.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia