Harian Metro

ARKITEK CILIK TAK GENTAR

-

Faiz mahu buktikan kewibawaan kawal bahagian tengah TFC pada aksi final

Kuala Terengganu

Biarpun bertubuh kecil, arkitek Terengganu, Mohd Faiz Mohd Nasir atau lebih dikenali sebagai ‘Messi Ganu’ sedia menawan Stadium Shah Alam, malam esok.

Pemain yang memiliki ketinggian 1.56 meter itu sudah membuktika­n faktor itu bukan halangan buat dirinya untuk menguasai jentera tengah biarpun sering kali menjadi ‘mangsa’ pasukan lawan.

Malah, pemain berusia 26 tahun itu juga sering kali diejek penyokong lawan kerana faktor fizikalnya yang kecil, tetapi kekuatan mental yang dimilikiny­a membuatkan dia tidak pernah tenggelam punca.

“Ini final pertama saya dalam Piala Malaysia. Sebelum ini saya pernah menjuarai Piala Presiden, justeru jika jurulatih sekali lagi memberi tugas sebagai perancang, sudah pasti saya mahu lakar sejarah peribadi dan pasukan.

“Tapi kerja ini bukan mudah namun tidak sukar sekiranya rakan sepasukan saling bantu-membantu,” kata Faiz yang beraksi cemerlang ketika menyingkir­kan Johor Darul Ta’zim (JDT) di separuh akhir, Sabtu lalu.

Faiz yang membentuk gandingan mantap bersama bintang import England, Lee Tuck adalah nadi jentera tengah skuad Penyu musim ini.

Bercakap mengenai aksi final, pemain berasal dari Pasir Mas, Kelantan itu mahu menamatkan penantian 17 tahun skuad Penyu untuk muncul juara dalam masa 90 minit.

“Jika boleh kami tidak mahu kemenangan nanti ditentukan melalui sepakan penalti kerana sedar peluang itu 50-50, oleh sebab itu saya mahu menamatkan penantian itu dalam masa sebenar,” kata Faiz.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia