Harian Metro

Ejek-mengejek berakhir tragedi

-

Penampang: Perbuatan ejek-mengejek ketika bermain snuker berakhir tragedi apabila seorang lelaki parah ditikam kenalannya di hadapan sebuah premis snuker di pekan Donggongon.

Dalam kejadian jam 7.30 malam kelmarin, mangsa berusia 30 tahun itu parah di bahagian perut akibat ditikam menggunaka­n pisau.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superinten­dan Mohd Haris Ibrahim berkata, berlaku pergaduhan antara mangsa dengan seorang lelaki yang dikenaliny­a ketika bermain snuker di sebuah premis di pekan Donggongon.

“Siasatan mendapati ketika kejadian mangsa dan suspek bermain snuker dan berlaku ejek-mengejek sehingga kedua-dua mereka bergaduh.

“Sepupu mangsa cuba membantu meleraikan pergaduhan itu, tetapi tidak berani kerana suspek memegang pisau.

“Mangsa cuba merampas pisau itu, tetapi gagal dan berlaku pergelutan sebelum suspek bertindak melarikan diri manakala mangsa terbaring dengan perutnya mengalami pendarahan,” katanya.

Mohd Haris berkata, mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) Kota Kinabalu untuk rawatan dan laporan polis dibuat oleh sepupu mangsa jam 9.10 malam, hari sama.

“Berdasarka­n laporan itu, suspek berjaya ditahan setengah jam kemudian oleh polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.

“Polis turut merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian itu. Mangsa yang cedera di perut akibat ditikam dilaporkan stabil,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia