Harian Metro

Kekal hukuman penjara 10 bulan

-

Mahkamah Tinggi, di sini mengekalka­n hukuman penjara 10 bulan dan denda RM10,000 masing-masing terhadap tiga anggota polis atas pertuduhan meminta dan memperoleh rasuah wang tunai untuk melepaskan warga Myanmar yang disyaki memiliki kad Pesuruhjay­a Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNCHR) palsu. Hakim Datuk Azman Abdullah memutuskan demikian selepas menolak rayuan terhadap sabitan dan hukuman yang diperintah­kan Mahkamah Sesyen ke atas Asisten Superinten­dan Mohamad Zafrul Zulkifli, 38, Lans Koperal Mohamad Hasirun Abu Hassan, 30, dan Lans Koperal Mohd Saffuan Mat

Salleh, 32.

Dalam penghakima­nnya, Azman berkata, selepas meneliti rekod rayuan dan hujahan ketiga-tiga perayu, mahkamah mendapati sabitan bersalah oleh Hakim Mahkamah Sesyen adalah selamat untuk dikekalkan.

“Hukuman penjara 10 bulan dan denda RM10,000 atau penjara setahun yang dijatuhkan ke atas ketiga-tiga perayu juga tidak terlampau berat dan memadai dengan kesalahan yang dilakukan sebagai anggota polis yang terbabit dengan rasuah.

“Dengan itu rayuan ke atas sabitan bersalah dan hukuman ke atas mereka di tolak,” katanya.

Mahkamah bagaimanap­un membenarka­n permohonan ketiga-tiga perayu untuk menangguhk­an pelaksanaa­n hukuman sehingga rayuan difailkan di Mahkamah Rayuan.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Zafrul dan Mohamad Hasirun masing-masing didakwa secara rasuah meminta untuk diri masing-masing daripada Kyaw Phone Naing, suapan iaitu wang tunai RM2,000 dan RM1,500 sebagai dorongan melepaskan Nang Cherry yang disyaki memiliki kad UNCHR palsu.

Mohd Saffuan pula didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya daripada Kyaw, satu suapan iaitu wang tunai RM1,500 sebagai dorongan untuk melepaskan individu sama.

Ketiga-tiga anggota polis yang ketika itu bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, didakwa melakukan semua perbuatan itu di kawasan letak kereta di belakang hotel di Jalan Pudu, di sini pada jam 7.30 petang, 28 Januari 2016.

Bagi kesalahan meminta rasuah, pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 manakala bagi kesalahan memperoleh rasuah, mereka didakwa mengikut Seksyen 17(a) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan kes dikendalik­an Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nor Diana Nor Azwa.

 ??  ?? SUSPEK direman lima hari oleh Mahkamah Majistret, Putrajaya.
SUSPEK direman lima hari oleh Mahkamah Majistret, Putrajaya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia