Murid, guru maut dihanyut banjir
Amman: Sekurang-kurangnya 18 orang terbunuh selepas banjir kilat menghanyutkan bas membawa sekumpulan murid sekolah swasta dan guru mereka yang mengadakan lawatan ke kolam air panas berhampiran Laut Mati, lapor media tempatan.
Reuters melaporkan, Ketua Polis, Brigadier Jeneral Farid al Sharaa memberitahu televisyen kebangsaan, sebuah bas membawa 44 kanak-kanak dan guru dihanyutkan arus selepas hujan lebat tiba-tiba menyebabkan air naik mendadak.
Sementara itu, Perdana Menteri Omar Razzaz berkata, sekolah itu berkemungkinan melanggar peraturan kementerian pendidikan yang melarang lawatan ke Laut Mati disebabkan cuaca buruk.
Seramai 37 orang diselamatkan dalam operasi besar-besaran membabitkan helikopter, tentera serta penyelam yang berusaha mencari mangsa yang mungkin terselamat selepas dihanyutkan arus dari kawasan lembah ke pinggir Laut Mati, iaitu kawasan paling rendah di muka bumi, lapor Jordan Times.
Sejumlah orang masih dilaporkan hilang, kata sumber hospital.
Salah satu jambatan di cenuram di Laut Mati runtuh akibat hujan lebat yang melanda pada hujung musim panas itu.
Keluarga mangsa turut menyertai usaha pencarian, malah meneruskannya pada waktu malam selepas operasi ditangguhkan semalaman, kata saksi. Negara jiran, Israel, turut menghantar pasukan penyelamat untuk membantu usaha pencarian.
Sepuluh pelajar dan seorang guru ditemui selamat, lewat Khamis, lapor media tempatan. - Agensi