Harian Metro

Usah gentar beraksi di ‘Piala Dunia’

-

Shah Alam: Kehangatan final Piala Malaysia, sama seperti suasana Piala Dunia!

Itu pandangan pengendali Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim menjelang aksi final Piala Malaysia menentang Perak malam ini.

Justeru, jurulatih berusia 67 tahun itu mengingatk­an anak buahnya supaya bijak menangani tekanan apabila beraksi di hadapan kira-kira 72,000 penyokong ketika beliau turut menjangkak­an kedua-dua pasukan akan tampil berhati-hati di awal permainan.

“Memang selalunya pada aksi final pasukan akan berhati-hati pada 10 atau 15 minit pertama permainan, tetapi saya sudah memberi nasihat kepada pemain bahawa suasana dan keghairaha­n final ini sama seperti Piala Dunia.

“Jadi, mereka kena pandai mengharung­i tekanan berkenaan,” katanya.

Kali terakhir Terengganu memenangi Piala Malaysia pada 2001 ketika di bawah kendalian Mat Zan Mat Aris dan selepas itu mereka terus kempunan untuk menjulangn­ya biarpun turut mara ke final edisi 2011 sebelum tewas di tangan Negeri Sembilan di gelanggang sama.

Dua pencapaian baharu bakal tercipta sekiranya skuad Penyu berjaya memenangi aksi final itu, iaitu ia bakal menjadi trofi Piala Malaysia pertama buat Irfan dan penjaga gol Suffian Abdul Rahman bakal mencipta sejarah sebagai pemain paling tua menjulang piala berprestij itu.

Mengulas lanjut mengenai aksi final malam esok, Irfan menyifatka­n pertemuan dengan Perak bagaikan final ketiga buat dirinya dan anak buahnya.

“Sebelum ini kami sudah berjumpa JDT dua kali di separuh akhir dan aksi itu umpama final pertama dan kedua buat kami apatah lagi Harimau Selatan mempunyai skuad yang kuat dan bagus.

“Bagi aksi bertemu Perak pula saya menganggap kedua-dua pasukan mempunyai peluang seimbang dengan masing-masing mencatat dua kemenangan di laman sendiri dan tempat lawan, jadi mana-mana pasukan pun boleh menang.”

Pada masa sama, Irfan turut mengesahka­n yang barisan pemainnya sudah bersedia untuk menafikan hasrat Perak untuk memburu trofi kelapan Piala Malaysia apatah lagi dengan status semua pemainnya yang bebas kecederaan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia