Harian Metro

ABANG BOMBA BERHATI MULIA

Gambar anggota bomba pangku si kecil tular di media sosial terima komen positif netizen

- Suraya Roslan surayarosl­an@hmetro.com.my

Layan umpama anak sendiri. Itu tindakan terpuji seorang anggota bomba yang tidak kisah selepas kanak-kanak perempuan mangsa kebakaran dipangkuny­a muntah di atas baju kalis api dipakai ketika bertugas.

Gambar Muhammad Azlan Mohd Nor, 30, anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Cyberjaya yang tular di media sosial mendapat komen amat positif dalam kalangan netizen.

Tidak kurang juga ada netizen yang terharu selepas melihat gambar anggota bomba terbabit melayan mangsa dikenali sebagai Naurah M Nor Shahil berusia tiga tahun umpama anak sendiri.

Anggota Unit Perkhidmat­an Perubatan Kecemasan (ERMS) itu berkata, kejadian itu berlaku ketika dia ditugaskan untuk membantu operasi memadam kebakaran di Taman Arked, Dengkil selepas menerima panggilan jam 12.03 tengah malam, semalam.

“Kebakaran berlaku di ruang tamu kediaman berkenaan menyebabka­n tujuh mangsa termasuk kanak-kanak perempuan yang saya pangku mengalami sesak nafas.

“Saya ditugaskan untuk menghantar mangsa yang sesak nafas ke hospital pada jam 1 pagi,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Dia yang sudah berkhidmat selama 10 tahun bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, dia mengiringi kanak-kanak perempuan itu dan ibunya.

“Ibu mangsa ketika itu dalam keadaan lemah akibat sesak nafas, jadi saya mengambil tanggungja­wab berkenaan dengan memangkuny­a.

“Mungkin kanak-kanak itu berasa loya ketika dalam perjalanan, secara spontan dia beritahu mahu muntah dan saya mengizinka­n.

“Dia kemudian muntah atas baju kalis api dan saya hanya tersenyum. Saya tak kisah dengan perbuatan mangsa. Sejujurnya saya anggap dia macam anak perempuan saya, malah usia mereka juga mungkin sebaya,” katanya.

Bagi Muhammad Azlan, sudah menjadi tugas anggota pasukan penyelamat untuk memberikan keselesaan kepada mangsa, apatah lagi kanak-kanak yang baru berusia empat tahun.

“Mangsa masih kecil dan kurang mengerti mengenai musibah yang berlaku. Menjadi tanggungja­wab saya untuk menenangka­n mangsa.

“Tak sangka kejadian ini menarik perhatian netizen selepas foto kami yang dirakam seorang pegawai perubatan yang turut berada dalam ambulans sama tular di media sosial,” katanya.

 ??  ??
 ??  ?? GAMBAR yang tular selepas kanak-kanak perempuan mangsa kebakaran muntah di atas baju kalis api anggota bomba.
GAMBAR yang tular selepas kanak-kanak perempuan mangsa kebakaran muntah di atas baju kalis api anggota bomba.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia