Buat laporan polis jika ada individu selain Jho Low seleweng wang 1MDB
Petaling Jaya: Tun Dr Mahathir Mohamad meminta Datuk Seri Najib Razak membuat laporan jika ada individu lain di luar negara yang terbabit dalam penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Perdana Menteri berkata, berdasarkan laporan itu, ia membolehkan kerajaan menahan dan menyiasat individu yang dimaksudkan Najib.
“Beliau boleh membuat laporan, oleh itu kita boleh menahan mereka untuk disiasat,” katanya di ibu pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di sini, malam kelmarin.
Najib dalam wawancara bersama Aljazeera menggesa supaya pasukan penyiasat memanggil individu antarabangsa yang didakwanya turut terbabit dalam penyelewengan dana 1MDB dan bukan menyiasat Low Taek Jho atau Jho Low saja.
Katanya, individu antarabangsa terbabit juga perlu disoal siasat bagi mengetahui ke mana wang berkenaan lenyap.
Sementara itu, Dr Mahathir menegaskan kerajaan tetap menahan warga asing yang terbabit dalam penyelewengan dana 1MDB tanpa mengira kedudukan dan pangkat termasuk keturunan diraja dari negara Arab.
“Jika mereka melakukan jenayah membabitkan kepentingan negara dan wang kita, kalau mereka datang sini, kita tahan mereka.
“Saya fikir ia tidak akan menyentuh soal diplomatik kerana jenayah tetap jenayah,” katanya.
Dr Mahathir turut berkata, kerajaan akan tetap mencari aset milik Malaysia yang ada kaitan dengan 1MDB termasuk loket berlian merah jambu, wang dan beg tangan.
Ditanya mengenai pendirian tidak konsisten Menteri Luar Arab Saudi, Adel Ahmed Al-Jubeir mengenai dana 1MDB, Dr Mahahthir berkata, apa yang penting ia perlu dibuktikan menerusi dokumen.
“Wang
1MDB tidak boleh dipindah tanpa rekod. Kalau datang dari Arab Saudi kena tunjukkan rekod. Kita kena cari dari mana, tetapi setahu saya ia dari 1MDB,” katanya.