‘Papa guru terbaik kami’
Empat beradik berlainan ibu ambil Diploma Perakaunan raih keputusan cemerlang
“Papa adalah guru dan sumber rujukan terbaik sehingga kami memperoleh keputusan cemerlang,” kata Ayu Syaheera Zulkepli yang memperoleh Anugerah Naib Canselor pada Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kali ke-89, kelmarin.
Ayu Syaheera, 21, iaitu anak kepada isteri kedua Datuk Dr Zulkepli Mohamad berkata, tiada apa yang lebih menggembirakannya apabila keempat-empat adik-beradiknya yang mengambil Diploma Perakaunan memperoleh keputusan cemerlang.
“Kami empat beradik memang belajar bersama sejak kecil sehingga ke peringkat universiti. Hubungan kami seperti kembar, namun bagi orang luar yang tidak tahu hubungan kami, mereka menyangkakan kami dua pasangan bercinta.
“Keputusan cemerlang yang diperoleh semalam (kelmarin) adalah hasil usaha kami dan bantuan papa. Kami belajar seperti biasa di dalam kelas dan jika ada yang tidak faham, kami akan merujuk adik-beradik supaya memberi pencerahan.
“Namun jika ada yang masih kurang jelas, kami sentiasa menghubungi papa supaya setiap subjek dapat difahami dengan baik dan dia memang tidak pernah mengecewakan kerana apa diajar lebih mudah untuk difahami,” katanya.
Pada majlis konvokesyen kelmarin, Ayu Syaheera dan Zul Azrul memperoleh Anugerah Naib Canselor manakala Juliana Aziera dan Zul Azril memperoleh Diploma Kelas Pertama.
Ayu Syaheera berkata, setiap minggu mereka akan pulang ke rumah dan tidak melepaskan peluang untuk belajar dengan bapa.
“Sejak dari kecil kami belajar dengan papa sehingga berada di universiti. Begitu juga dengan abang yang lain turut merujuk papa memandangkan bidang perakaunan adalah kehebatannya.
“Alhamdulillah segala tunjuk ajar papa berikan kami terima dengan baik dan kejayaan ini juga hadiah untuk dia. Walaupun berada di universiti dan jauh daripada keluarga, kami empat beradik sentiasa bersama ketika waktu siang dan segala pergerakan akan dimaklumkan kepada papa,” katanya.