RUMAH MAMPU MILIK AGENDA UTAMA
Kerajaan dijangka menjadikan rumah mampu milik sebagai agenda utama dalam Bajet 2019 memandangkan ia adalah antara isu utama yang mendapat perhatian rakyat.
Pensyarah Kanan Putra Business School Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, isu rumah mampu milik adalah antara komponen utama yang perlu diselesaikan kerajaan supaya ia tidak lagi berlarutan.
Beliau berkata, permasalahan itu dapat diselesaikan sekiranya ia membabitkan kerjasama pelbagai pihak berkepentingan seperti pihak pemaju dan pemilik tanah serta kerajaan negeri dan inisiatif daripada kerajaan Persekutuan.
Justeru, katanya, Bajet 2019 sekali gus akan memperlihatkan inisiatif lain yang akan diperkenalkan oleh kerajaan hasil daripada usaha meggabungkan semua agensi yang berkaitan perumahan negara di bawah Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN).
“Rumah mampu milik dijangka menjadi fokus utama kerajaan memandangkan ia adalah isu yang berpanjangan sejak sekian lamanya.
“Jadi, pada Bajet 2019 ini juga kita berkemungkinan akan melihat kerajaan mengumumkan penyelesaian khusus hasil daripada inisiatif gabungan semua agensi berkaitan perumahan negara baru-baru ini,” katanya.
Penubuhan MPMMN diumumkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika membentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 bagi menyelaras pengurusan perumahan mampu milik awam.
Selain itu, Dr Ahmed Razman turut menjangkakan kerajaan akan melaksanakan usaha memastikan kekayaan negara dapat dinikmati semua.
“Belanjawan ini kita yakin kerajaan akan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat.
“Ini juga adalah sejajar dalam merealisasikan Bangsa Malaysia yang maju dalam segala segi,” katanya. Fonterra Brands Malaysia (Fonterra) menyasarkan untuk mempertingkat kapasiti kilang Susumas kepada 55,000 berbanding 35,000 tan setahun bagi pengeluaran susu tepung menjelang 2023.
Pengarah Operasinya, Mathieu Lostie berkata, usaha itu juga adalah langkah tepat dalam menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluaran dan ekport bagi rantau Asia Tenggara dan beberapa negara Asia yang lain.
Beliau berkata, kilang Susumas mengeluarkan kira-kira 200,000 produk susu tepung setiap hari dari pelbagai jenama antaranya Fernleaf, Anmum dan Anlene.
“Untuk mencapai sasaran itu, kami dijangka melabur hingga RM80 juta di kilang Susumas bagi meningkatkan kualiti dan piawaian produk yang dihasilkan.
“Antara 2010 sehingga 2016 Fonterra melabur sebanyak RM60 juta dengan tambahan sebanyak RM20 juta pada 2016 khusus bagi mempertingkat standard keselamatan makanan dan kualiti untuk kecekapan operasi.
“Setakat ini Susumas mengeluarkan 24,000 tan susu tepung sehari, dan jumlah ini dijangka meningkat sebanyak 50 peratus pada 2020,” katanya.