TAKUT DUIT BANYAK
Lelaki miskin terkejut ada RM12.5 juta dalam akaun bank
Tentunya pelik jika ada orang tidak gembira malah ketakutan kerana memiliki duit yang banyak di dalam akaun bank.
Bagaimanapun, itulah yang dirasai pemandu teksi motosikal, Mohammad Rasheed, 43, apabila mendapati baki dalam akaun bank miliknya yang tidak digunakan adalah 3 bilion rupee (RM12.5 juta).
Sudah tentu Mohammad rasa amat terkejut dan takut, lebih-lebih lagi apabila dia mengambil masa setahun untuk mengumpul 300 rupee (RM9.35) bagi membeli basikal terpakai untuk anak perempuannya.
“Saya mula berpeluh dan menggigil,” kata Mohammad yang sebenarnya menjadi mangsa terbaru sindiket pengubahan wang haram di Pakistan, ketika Perdana Menteri baru, Imran Khan, berikrar membanterasnya.
Apabila dia mendapat panggilan dari Agensi Siasatan Persekutuan (FIA), Mohammad pada mulanya berfikir untuk menyembunyikan diri.
Tetapi, rakan dan anggota keluarganya memujuk Mohammad supaya bekerjasama dengan pihak berkuasa.
Kes yang dihadapinya turut dialami puluhan orang lain sejak beberapa minggu lalu, sesuatu yang mendapat liputan besar akhbar Pakistan selain mencetuskan kemarahan penduduk yang sudah biasa mendengar kisah rasuah dan rompakan besar.
Insiden itu membabitkan perkara yang sama iaitu akaun bank milik warga miskin yang mengandungi banyak wang sebelum menjadi kosong disebabkan skim pengubahan wang haram yang menyaksikan jutaan dolar dibawa keluar negara.
Sekalipun dia disahkan tidak bersalah, Mohammad mengakui dia masih berasa bimbang.
“Saya tidak lagi membawa teksi motosikal di jalan raya kerana takut agensi penyiasat lain mungkin menahan saya. Isteri saya juga jatuh sakit kerana ketakutan,” katanya lagi.
September lalu, Mahkamah Agung Pakistan membentuk satu suruhanjaya bagi menyiasat punca kegiatan itu dan mendapati sekurang-kurangnya AS$400 juta (RM1.6 bilion) telah melalui ribuan akaun palsu menggunakan nama penduduk miskin.
Suruhanjaya berkenaan merumuskan, 600 syarikat dan individu terbabit dalam skandal itu.
Ia juga lebih memalukan bagi Khan ketika pentadbirannya berusaha mendapatkan bantuan asing selain berunding dengan Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) bagi menangani krisis ekonomi.