Tangani jurang digital sekolah luar bandar, pedalaman
Kota Samarahan: Kewujudan jurang digital di sekolah pedalaman dan luar bandar di negeri ini perlu ditangani segera seiring perkembangan era teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
Timbalan Pengarah Pendidikan Sarawak Abang Mat Ali Abang Masagus berkata, langkah itu berikutan kepentingan ICT terhadap aspek pengajaran dan pembelajaran, malah isu berkenaan diberikan perhatian serius oleh Kementerian Pendidikan.
Beliau berkata, ia perlu ditangani segera kerana jurang digital boleh menyebabkan masyarakat di luar bandar ketinggalan dari segi informasi, sosial, ekonomi dan politik.
“Justeru, kementerian melalui Bahagian Teknologi Jabatan Pendidikan Sarawak secara berterusan menyediakan pelbagai keperluan bagi membolehkan ICT menjadi pengupaya kepada proses Pengajaran dan Pembelajaran (PDP) serta Pengurusan dan Pentadbiran Pendidikan (PDT) berkesan.
“Terdapat pelbagai inisiatif ICT dilaksanakan kementerian secara berterusan sejak dulu lagi termasuk menaik taraf pembekalan perkhidmatan 1Bestari Net Fasa 2 yang merangkumi akses Internet dan pelantar persekitaran pembelajaran maya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Pembestarian Sekolah Peringkat Negeri 2018 di Dewan Suarah Kota Samarahan, di sini, baru-baru ini. Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Teknologi Pendidikan Sarawak, Thomas Kanyan Siam dan Pengurus Besar Sarawak Multimedia Authority (SMA), Dr Zaidi Razak.
Mengulas lanjut beliau berkata, beberapa sekolah di Sarawak turut dinaik taraf perkhidmatan jalur lebarnya daripada 6 megabit per saat (Mbps) menerusi talian 4G kepada 30Mbps talian tetap jalur lebar.
“Melalui keupayaan akses Internet dan pelantar pembelajaran persekitaran maya, proses pembelajaran dapat dilaksanakan di mana saja dan tidak terhad hanya secara bersemuka dalam bilik darjah,” katanya.