Peruntukan besar prasarana digital
Sibu: Belia Sarawak digalakkan terus aktif dalam sektor ekonomi digital dan akan terus dibantu bagi mengelak mereka tercicir dalam arus pembangunan semasa.
Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar negeri Datuk Len Talif Salleh berkata, bagi mencapai hasrat itu, kerajaan negeri menyediakan peruntukan besar untuk meningkatkan prasarana digital, selain menganjurkan program berkaitan.
Malah katanya, kerajaan negeri melalui Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) menganjurkan pelbagai program berimpak tinggi seperti Festival Latihan Kerjaya Sarawak (SCAT Fair), Merealisasikan Impian (Pro-DR) dan Hub Inovasi Digital TEGAS.
“Semua program kita sediakan sesuai dengan keperluan generasi baharu yang hidup di persekitaran mencabar. Ia satu langkah penting bagi membiasa dan menjiwakan digital inovasi dalam diri mereka.
“Jika golongan ini tidak mendapat pendedahan lebih awal, saya khuatir jurang sosio-ekonomi akan menjadi semakin meluas. Justeru, saya berharap usaha ini mendapat sokongan padu terutama ibu bapa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penutupan Program Pemerkasaan Belia: Inovasi Digital 2018 anjuran Persatuan Melanau Sibu (PMS) dengan kerjasama TEGAS di Dewan Kompleks Islam Sibu di sini, kelmarin.
Hadir sama Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat), Abdullah Saidol dan Timbalan Pengerusi
PMS Mohd Nazim Masni.
Beliau menjelaskan, kesungguhan kerajaan negeri juga terbukti dengan peruntukan RM30 juta untuk membangunkan Kampung Digital Sarawak (SDV) pada Mac 2017.
Katanya, kemudahan itu menyediakan eko-sistem keusahawanan, membangunkan bakat belia dalam industri di samping mewujudkan kolaborasi antara agensi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli akademik.
“Sejak 1 September 2017 hingga kini, kerajaan mengadakan pelbagai aktiviti inovasi digital, keusahawanan, media dan teknologi tinggi. TEGAS sendiri tidak menjangka mampu pergi jauh sebegini.
“Bermula dengan tiga kakitangan pada 2012 untuk mempromosikan Sistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), agensi ini mengorak langkah mempromosikan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM),” katanya.