Kakitangan JAIS salah guna kuasa dijel 2 bulan
Shah Alam: “Kamu sebagai seorang pendakwah yang mempunyai latar belakang agama sepatutnya lebih tahu mengenai riba dan rasuah.
“Allah kini memberi ‘jalan’ dan peringatan awal kepada kamu di dunia kerana sudah disabitkan bersalah. Jika tidak, kamu mungkin menganggap perbuatan kamu betul sebelum ini,” kata Hakim Rozilah Salleh ketika menjatuhkan hukuman penjara dua bulan dan denda RM175,600 terhadap seorang bekas kakitangan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), semalam.
Tertuduh, Hairul Nizan Mhd Idris, 37, sebelum itu didapati bersalah atas sembilan pertuduhan salah guna kuasa bagi permohonan dan syor pembekalan syarikat milik ahli keluarganya, dua tahun lalu.
Rozilah turut memerintahkan Hairul Nizan yang juga bekas pegawai dakwah di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Hulu Langat dipenjara selama 31 bulan sekiranya gagal membayar denda.
Mengikut semua pertuduhan, tertuduh didakwa mengemukakan permohonan dan syor bagi pembekalan syarikat Prisma Jaya Kini Resources milik abangnya dan syarikat Prisma Maju Trading milik adiknya bagi sembilan program membabitkan wang RM53,156.
Perbuatan itu dilakukan di PAID Hulu Langat antara 1 Februari hingga 28 Oktober 2016.
Justeru, dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, jika sabit kesalahan.