ESSCOM gerak aset kekang penculikan
Lahad Datu: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) menggerakkan semua aset di pos kawalan hadapan bagi meningkatkan kawalan keselamatan di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).
Komander ESSCOM Datuk Hazani Ghazali menerusi kenyataan media di sini, semalam, turut mengingatkan masyarakat di ESSZONE supaya memaklumkan sebarang maklumat sekiranya menyedari ada gerakan yang meragukan di kawasan perairan itu.
Peringatan itu merujuk kepada laporan portal Marine Link kelmarin yang menyatakan Pusat Perkongsian Maklumat (ISC) Pusat Perjanjian Kerjasama Wilayah Memerangi Lanun dan Rompakan Ke Atas Kapal Asia (ReCAAP) menerima maklumat daripada pasukan keselamatan Filipina berkaitan aktiviti penculikan.
Berdasarkan maklumat itu, dianggarkan 10 ahli kumpulan Abu Sayyaf merancang untuk melakukan aktiviti penculikan di beberapa lokasi di Sabah.
Mengulas mengenainya, Hazani berkata, ESSCOM turut menerima maklumat sama daripada rakan pasukan keselamatan di negara jiran.
“Pihak ESSCOM sudah mengerakkan semua aset di lapangan dan pos kawalan hadapan untuk meningkatkan kesiapsiagaan dan rondaan di kawasan perairan
>>Abu Sayyaf rancang lakukan aktiviti penculikan di beberapa lokasi di Sabah
ESSZONE.
“Saya meminta kepada masyarakat ESSZONE supaya menyampaikan sebarang maklumat kepada ESSCOM sekiranya kelihatan pergerakan yang meragukan supaya tindakan pantas dapat diambil,” katanya.
Beliau turut memberi jaminan tahap keselamatan di pantai timur Sabah ketika ini terkawal dan dalam keadaan baik.
Laporan portal itu turut menyebut kumpulan terbabit menyasarkan ahli perniagaan atau kru kapal asing yang melalui kawasan perairan dengan mereka menggunakan bot jongkong warna biru dan putih untuk melakukan aktiviti terbabit.
Laporan itu juga menyebut supaya pemilik dan kru kapal digesa lebih berhati-hati ketika berada di perairan timur Sabah dan Sulu, Filipina.