Serbuk kunyit tutup jejak
Tindakan suspek bunuh ibu tunggal dan rakan elak dikesan polis
Suspek pembunuhan seorang ibu tunggal dan rakan lelakinya di di tingkat tiga Blok 11, Flat Taman Ungku Tun Aminah (TUTA) menabur serbuk kunyit bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Serbuk kunyit berkenaan dipercayai ditabur selepas suspek berkenaan menetak dan mengelar kedua-dua mangsa sebelum melarikan diri.
Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, pihaknya mendapati serbuk kunyit ditabur di merata tempat di dalam kediaman mangsa dipercayai bagi mengelakkan polis menjejaki kumpulan suspek terbabit.
“Kami mengesyaki suspek kenalan mangsa memandangkan pintu besi utama serta rumah mangsa tidak berkunci sebaliknya hanya pintu papan berkunci,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.
K Kamala, 51, dan rakannya, S Silvaraju, 59, ditemui mati dengan kesan kelar dan tetakan jam 9 pagi.
Mayat kedua-dua mangsa itu ditemui anak perempuan Kamala yang pulang bekerja dari Singapura.
Menurut Mohd Kamarudin, kejadian dipercayai berlaku pada tengah malam kelmarin.
Katanya, siasatan mendapati jiran mangsa terdengar bunyi bising selama 10 minit, tetapi tidak mengesyaki sebarang kejadian tidak diingini berikutan pintu rumah mangsa dalam keadaan tertutup.
“Berdasarkan maklumat, Kamala bekerja sebagai pekerja bahagian pembersihan yang tinggal di flat berkenaan bersama anak perempuannya berusia 31 tahun serta turut dihuni rakan lelakinya itu.
“Kedua-dua mangsa ditemui dalam keadaan berlumuran darah termasuk Kamala terbaring di bilik tidur manakala lelaki berkenaan di bahagian ruang tamu.
“Siasatan mendapati kedua-dua mangsa memiliki kesan tetakan di kepala dan lelaki berkenaan mempunyai kesan kelar di leher,” katanya.
Mohd Kamarudin berkata, polis menjalankan siasatan dari semua sudut bagi mengenal pasti motif pembunuhan itu sama ada mempunyai kaitan dengan kejadian samun, dendam atau masalah hutang.
Menurutnya, sejumlah wang tunai dan barang kemas milik Kamala juga dilaporkan hilang.
Katanya, pihaknya mengesyaki sekurang-kurangnya dua atau lebih individu terbabit dalam kes berkenaan.
“Belum ada tangkapan dilakukan dan kami menjejak maklumat termasuk sama ada wujud kamera litar tertutup bagi membantu siasatan,” katanya.