Teknologi kultur tisu hasilkan kualiti rumpai laut terbaik
Serdang: Penghasilan benih rumpai laut melalui teknologi kultur tisu mampu menghasilkan lima kali ganda atau 400,000 benih rumpai laut berbanding kaedah konvensional dalam masa 11 bulan.
Pengarah Eksekutif Institut Agro-Bioteknologi Malaysia (ABI), Prof Madya Dr Norihan Mohd Salleh berkata, kajian yang dijalankan membuktikan kualiti rumpai laut menggunakan teknik itu lebih baik berbanding rumpai laut liar.
Beliau berkata, ia berdasarkan aspek kadar pertumbuhan dan kandungan karaginan rumpai laut berkenaan.
“Proses penghasilan benih kultur tisu ini membabitkan pengadaptasian rumpai laut ke persekitaran makmal, pensterilan eksplan, penginduksian kalus, penghasilan somatic embryo dan pembesaran anak benih sebelum dipindahkan ke ladang.
“Rumpai laut dianggap ‘super food’ kerana kandungan nutrisinya yang tinggi dan pelbagai khasiat terhadap kesihatan fizikal serta penjagaan kulit.
“Industri ini mempunyai potensi yang besar untuk dimajukan dan dikembangkan kerana serbuk rumpai laut serta karaginan daripada rumpai laut mempunyai aplikasi yang luas.
“Ia boleh dijadikan salah satu bahan campuran produk bagi industri pemprosesan makanan dan minuman, kosmetik serta farmaseutikal. Malah industri ini dapat memberi pulangan yang lumayan kepada pengusaha,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penyempurnaan latihan dan pemindahan teknologi bagi penghasilan benih kultur tisu rumpai laut di Institut Bioteknologi Kebangsaan Malaysia (NIBM), di sini, kelmarin.
Majlis perasmian disempurnakan Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Isnaraissah Munirah Majilis.
Norihan berkata, pengusaha industri rumpai laut sering mengalami masalah kesukaran untuk mendapatkan bekalan benih secara konsisten, kemerosotan kualiti benih dan ancaman penyakit.
“Ini kerana rumpai laut yang ditanam secara konvensional iaitu menggunakan teknik potongan menunjukkan penurunan kandungan karaginan, kadar pertumbuhan dan daya rintang terhadap penyakit serta perubahan cuaca,” katanya.
Sementara itu, Isnaraissah berkata, kerajaan menyasarkan penghasilan 150,000 tan metrik rumpai laut menjelang 2020.
Katanya, teknik penghasilan benih rumpai laut menggunakan teknologi kultur tisu mampu membantu pengusaha meningkatkan pendapatan mereka.