Balasan anak derhaka
Seorang anak derhaka menerima padah apabila dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam selepas mengaku bersalah menendang ibunya yang juga orang kurang upaya (OKU).
Majistret Abdul Hayyi Salim menjatuhkan hukuman itu terhadap Wan Muhammad Faizal Wan Tahar, 24, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap ibunya, Punisah Saibi, 50.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula tarikh dia ditahan iaitu pada 26 September lalu.
Mengikut kertas pertuduhan, Wan Muhammad Faizal didakwa mencederakan ibunya dengan menendang belakang badan wanita itu di rumahnya di Kampung Paloh Haji Daud, jam 8.15 malam pada 24 September lalu.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh ke rumah ibunya di Kampung Paloh Haji Daud untuk meminta wang.
Apabila gagal memperoleh
Dipenjara 12 bulan selepas mengaku salah tendang ibu kurang upaya
wang dimintanya, tertuduh bertindak menendang belakang ibunya sebelum keluar dari rumah.
Bagaimanapun, suspek kembali semula ke rumah tidak lama kemudian sebelum mengamuk serta membaling tong gas ke arah wanita itu, namun dielak mangsa.
Ibunya yang cedera di belakang badan membuat laporan polis berhubung kejadian.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Polis, Inspektor Miki Dustan Muda manakala tertuduh tidak diwakili peguam.