Mengidam ‘batu’
Wanita sarat mengandung ketagih dadah dicekup AADK
“Saya ketagih makan ‘batu’ . Walaupun sedang sarat mengandung enam bulan, saya tetap menagih menggunakan duit sara hidup diberikan suami,” ujar seorang wanita berusia 25 tahun yang ditahan sepasukan penguat kuasa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam Operasi Perdana di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, di sini, semalam.
Penagih wanita terbabit adalah antara 118 individu yang ditahan selepas didapati positif dadah dalam operasi yang tamat pada jam 3 pagi semalam.
Wanita terbabit yang disoal siasat memberitahu menagih dadah ketika meluangkan masa bersama rakan lain di PPR berkenaan.
“Saya mula mengambil dadah ketika berusia 19 tahun. Saya kemudian berkahwin dengan suami pertama sebelum berhenti menagih dadah ketika mengandung anak pertama.
“Saya bercerai ketika anak pertama berusia sembilan bulan. Selepas berkahwin dengan suami kedua, saya kembali menagih dadah semula,” katanya ketika ditemui di Kompleks Kementerian Dalam Negeri, di sini, semalam.
Wanita itu berkata, kesibukan suaminya yang bekerja sebagai pemandu lori menyebabkan dia banyak menghabiskan masa bersama rakan-rakan di PPR itu.
“Suami memberi wang kepada saya setiap minggu untuk beli barang keperluan rumah. Bagaimanapun saya gunakan lebihan wang diberikan untuk membeli dadah.
“Ketika serbuan dilakukan AADK, saya sedang bermain telefon di rumah rakan. Saya didapati positif dadah selepas mengambil ‘batu’ (methamphetamine) dua hari lalu.
“Saya menyesal sekarang. Saya tidak akan buat lagi (ambil dadah),” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah AADK Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, penahanan wanita mengandung terbabit yang didapati positif dadah adalah perkara amat menyedihkan.
“Gejala ini (menagih dadah) adalah tidak sihat. Bukan sahaja menjejaskan kesihatan wanita terbabit, malah menjejaskan kesihatan bayi dalam kandungan. Ini akan menyebabkan bayi itu turut menjadi ‘penagih’ berikutan pembesarannya bergantung kepada dadah diambil ibunya,” katanya.