RM43.5 juta bina stesen di KL Eco City
Kuala Lumpur: Perbadanan Aset Keretapi (RAC), Badan Berkanun Persekutuan di bawah Kementerian Pengangkutan membuat pelaburan keseluruhan berjumlah RM43.5 juta bagi membiayai pembangunan stesen dan pejabat baru di KL Eco City, Kuala Lumpur.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pelaburan yang dilaksanakan RAC itu merangkumi Stesen Abdullah Hukum dan dua pejabat agensi berkenaan yang kini sudah beroperasi sepenuhnya.
“Untuk Stesen Abdullah Hukum, RAC melabur RM30 juta, manakala baki RM13.5 juta lagi untuk dua pejabatnya di KL Eco City,” katanya pada sidang media selepas pelancaran stesen berkenaan di sini, semalam.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah RAC, Datuk Seri Saripuddin Kasim; Pengurus Besar RAC, Azhar Ahmad; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan; dan Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Mohd Rani Hisham Samsudin.
Stesen yang diintegrasikan dengan Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya Abdullah Hukum itu dibangunkan di atas tanah rizab kereta api seluas 0.6 hektar.
Pembangunan stesen baru yang dilaksanakan secara penswastaan dengan KL Eco City Sdn Bhd, anak syarikat SP Setia Bhd adalah pembangunan berorientasikan transit (TOD) pertama RAC.
Pada peringkat permulaan, Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) selaku operator menjangkakan seramai 1,000 penumpang sehari akan menggunakan perkhidmatan KTM Komuter dan ia dijangka meningkat kepada 5,000 orang sehari menjelang 2020.