POLIS, SUSPEK LEMAS JATUH SUNGAI

„ Anggota polis dan lelaki curi kereta cuba ditangkap jatuh sungai

Harian Metro - - Muka Depan - Rosli Ilham cnews@nstp.com.my

“Saya nak bungkus nasi ini, saya nak cepat pergi ke tempat lemas.” Itu kata Konstabel Wan Mohamad Ariff Wan Yahaya, 28, yang menimbulkan rasa pelik kepada rakan sekerjanya sebelum beliau terjatuh ke dalam sungai di Kampung Penyiram, Durian Mentangau di sini, malam kelmarin.

Rakan setugasnya, Koperal Mohd Sayuti Sani, 35, berkata, dia pelik dengan rakan setugasnya ketika mereka berhenti makan di sebuah warung tidak jauh dari tempat kejadian.

Katanya, mereka bersama dua lagi rakan setugas, Koperal Mohd Nor Fazli Ibrahim, 31, dan Konstabel Zazali Omar, 33, menerima maklumat suspek memandu kereta dicurinya dan bersembunyi di rumah rakannya di Kampung Penyiram.

“Kami bertolak dari Balai Paka dan sempat mengerjakan solat di sebuah masjid di situ sebelum saya meminta semua kawan setugas berhenti makan seketika di warung itu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurutnya, arwah kelihatan tidak sabar menangkap suspek dan meminta mereka bertiga makan selepas menangkap suspek lalu bangun dan meminta pemilik warung membungkus makanan yang sudah dipesan.

“Saya membantah tindakannya itu dan akhirnya kami semua makan di situ dan ungkapan arwah kepada pemilik kedai itu untuk pergi ke tempat lemas amat pelik.

“Ketika membuat intipan kami menemui kereta Perodua Kembara yang dicuri itu berada dalam kawasan rumah terbabit dan kami berhentikan kenderaan dan menghampiri kenderaan curi itu,” katanya.

Katanya, suspek yang terkejut dengan kehadiran polis melarikan diri dan mereka berempat mengejar suspek.

“Ketika itu Wan Mohamad Ariff mengejar di belakang suspek dan secara tiba-tiba dia dan suspek terjatuh dari tebing setinggi tujuh meter sebelum masuk ke dalam sungai.

“Dalam suasana gelap, kami tidak sangka ada sungai di situ dan saya bertiga dengan rakan setugas yang lain hampir terjatuh namun sempat berpaut pada akar pokok,” katanya.

Mohd Sayuti berkata, dia sempat menyuluh lampu ke dalam sungai itu dan mendapati arwah dan suspek berenang cuba menyelamatkan diri sebelum kedua-dua mereka hilang.

“Saya menghubungi bilik gerakan memaklumkan kejadian itu. Kami sangat rapat dan sering bertugas bersama sepanjang dua tahun bekerja dengannya.

“Sebelum kejadian itu juga, dia memaklumkan ada bermimpi menahan suspek dan tidak sangka berlaku tragedi dalam operasi ini, ” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Paka, Penolong Penguasa Bomba, Rezuan Adnan berkata, operasi mencari kedua-dua mangsa disambung semula jam 8 pagi semalam.

Katanya, operasi membabitkan 18 anggota dan pegawai bomba, 20 pegawai dan anggota polis, empat anggota Angkatan Pertahanan Awam dan 15 penduduk kampung.

ANGGOTA bomba menjalankan operasi mencari mangsa, Wan Mohamad Ariff (gambar kecil). KETUA Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah (kiri) melihat anggota bomba merangka operasi mencari.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.