JAWAB

Harian Metro - - Setempat - Hafidzul Hilmi Mohd Noor cnews@nstp.com.my

“Beras tiruan yang menggunakan jenama kami adalah sedikit hancur serta menggunakan campuran beras tempatan dan import.

“Manakala, bagi beras asli ia adalah 100 peratus yang diimport dan tidak hancur,” kata Pengurus Jualan Serba Wangi (KL Sdn Bhd), Keng Tee Khoon.

Dia yang mewakili syarikat pemilik cap dagangan beras jenama Jati yang diciplak itu berkata, pengguna perlu lebih berhati-hati ketika membeli jenama produk berkenaan.

Katanya, bagi memastikan keluaran beras berkenaan jenis asli, terdapat perbezaan pada kualiti beras walaupun sindiket menggunakan bungkusan sama.

“Selain daripada kualiti beras terdapat juga perbezaan pada bungkusan beras berkenaan.

“Pengguna boleh melihat perbezaan pada kod bar, nama syarikat dan alamat, serta logo halal pada bungkusan berkenaan. Selain itu, bungkusan pada pek jenama tiruan sedikit pudar berbanding jenama asli,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Tee Khoon berkata, beras dikeluarkan syarikatnya iaitu Beras Jati Super Special adalah beras nombor satu di Malaysia menjadi sasaran sindiket untuk menciplak jenama berkenaan.

“Mereka mengambil peluang ini kerana beras berkenaan senang dijual kerana laris di pasaran.

“Kos yang digunakan sindiket itu sangat murah dan mendapat keuntungan berlipat kali ganda,” katanya.

Katanya, setakat ini pihaknya menerima dua aduan berhubung premis yang menjual beras ciplak berkenaan.

“Satu daripadanya berjaya diserbu manakala satu premis lagi sudah mengosongkan gudang yang menempatkan beras tiruan berkenaan.

“Pihak syarikat sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi menangani isu ini,” katanya.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat atau meragui status beras yang dibeli boleh menghubungi syarikat secara terus untuk tujuan pemeriksaan.

Semalam, akhbar ini melaporkan sebanyak 574 kampit beras tiruan menggunakan jenama Beras Jati Super Special dirampas KPDNHEP dalam serbuan di sebuah premis di Pusat Bandar Utara Selayang, Batu Caves.

Serbuan turut disertai pemilik cap dagangan jenama beras berkenaan iaitu Serba Wangi (KL Sdn Bhd) yang mengenal pasti beras menggunakan jenama itu diciplak.

Premis itu didapati menjual serta mengedar beras menggunakan cap dagangan palsu.

semalam. LAPORAN Harian Metro,

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.