Harian Metro

Dalam tahanan imigresen rupanya...

-

Kuala Lumpur: Wanita warga China yang dilaporkan hilang pada 24 Oktober lalu sebenarnya berada dalam tahanan imigresen selepas ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Cheras di sini, 13 Oktober lalu.

Wanita berusia 22 itu sebelum ini dilaporkan hilang oleh bapanya selepas gagal dihubungi ketika berada di negara ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Shaharudin Abdullah berkata, kali terakhir mangsa berhubung dengan bapanya yang berada di China pada 10 Oktober lalu melalui aplikasi WeChat.

“Bapa mangsa mendapat maklumat bahawa anaknya masuk ke Malaysia pada 2 Oktober lalu bersama enam lagi wanita warga China dipercayai dibawa satu kumpulan dari negara berkenaan.

“Difahamkan, semua wanita terbabit tidak mengenali antara satu sama lain. Lelaki itu memaklumka­n tujuan anaknya datang ke Malaysia adalah untuk menjadi penyanyi bar,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Shaharudin berkata, siasatan mendapati wanita terbabit ditahan Bahagian Perisikan, Operasi Khas dan Analisa Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Putrajaya dalam serbuan di pusat hiburan berkenaan.

“Wanita itu ditahan bersama 21 warga asing lain di premis berkenaan mengikut Sekyen 51(5) (b) Akta Imigresen 1959/63.

“Semakan berhubung status terkini dan lokasi wanita itu ditempatka­n sedang dilakukan dengan pihak JIM,” katanya.

Sebelum ini, bapa wanita terbabit membuat laporan di Balai Polis Tun HS Lee di sini, pada 24 Oktober lalu berhubung kehilangan anaknya yang dikatakan kali terakhir dilihat di sebuah hotel di Jalan Imbi, di sini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia