Harian Metro

Hiba bengkel berusia 9 bulan hangus

-

Kuala Lumpur: “Saya hilang mata pencarian apabila bengkel yang baru diusahakan sembilan bulan lalu musnah terbakar,” kata Rosmadi Jamaludin, 35, pemilik bengkel motosikal yang musnah dalam kebakaran di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Semarak, di sini, kelmarin.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan menghantar anaknya ke sekolah namun menerima panggilan telefon daripada rakan memaklumka­n bengkelnya terbakar.

“Saya tinggal di PPR Desa Rejang. Saya boleh nampak jentera bomba dan asap dari rumah namun tidak menyangka bengkel saya yang terbakar.

“Ketika sampai (di bengkel), saya tidak mampu berbuat apa-apa kerana api marak membakar bengkel itu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Rosmadi berkata, dia baru saja mengusahak­an bengkel itu sembilan bulan lalu menggunaka­n wang simpanan sendiri.

“Saya gunakan semua simpanan untuk membuka bengkel ini, saya mula dari bawah dan perniagaan ini mula berkembang.

“Akibat kejadian ini saya kerugian RM4,800

(wang disimpan di bengkel) serta alat ganti dan mesin bernilai RM5,000. Wang itu saya simpan untuk membeli kereta baru. Saya sedih namun reda dan menganggap ini sebagai dugaan,” katanya.

Turut musnah dalam kejadian jam 9 pagi itu sebuah kedai runcit dan kedai makan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur Nordin Pauzi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian jam 9.07 pagi.

“Sepasukan 20 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setapak, Wangsa Maju dan Hang Tuah bergegas ke lokasi.

“Tiga premis terbabit adalah kedai runcit, kedai makan dan bengkel motosikal,” katanya ketiak dihubungi, di sini, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia