TELUR POWER TUJUH HERBA

Harian Metro - - Setempat - Ahmad Rabiul Zulkifli cnews@nstp.com.my

Menu istimewa jadi fenomena, kegilaan pelanggan Kafe Bas Masjid al-Muktafi Billah Shah

Baru saja berusia seminggu, namun Kafe Bas Masjid al-Muktafi Billah Shah (MAMBS) menerusi menu istimewa yang disediakan iaitu telur power menjadi fenomena dan kegilaan pelanggan di negeri ini.

Hidangan telur power yang diilhamkan oleh Tajudin Ismail, 62, dari Kampung Gong Pasir, Dungun sejak 20 tahun lalu sememangnya sudah terkenal terutamanya di Dungun.

Apa yang membuatkan menu berkenaan istimewa ialah kerana ia telur separuh masak yang dicampur tujuh jenis herba termasuk halia bara dan dihidangkan pula bersama madu semestinya secara tradisional mempunyai khasiatnya tersendiri termasuk memanaskan badan ketika musim hujan.

Tajudin atau lebih mesra dipanggil Pok Din Telur Power berkata, hidangan itu sudah terkenal dan mempunyai penggemar tersendiri dari pelbagai negeri antaranya Johor, Kuala Lumpur dan Selangor.

“Mungkin kerana khasiat serta keunikan hidangan ini, ada pelanggan dari jauh sanggup datang ke Dungun semata-mata untuk menikmatinya.

“Resipi telur power ini ialah hasil ciptaan saya sendiri, tetapi ramuannya digunakan berpandukan amalan tradisional orang tua di Kuala Berang,” katanya.

Menurutnya, penggunaan pelbagai jenis herba oleh masyarakat lama di Kuala Berang sudah menjadi amalan mereka untuk kekal bertenaga dan sihat.

“Kerana itu saya adunkan semua herba yang digunakan dalam satu hidangan dan dimakan bersama telur separuh masak.

“Mulanya, saya hanya amalkan makan sendiri, tetapi apabila dicuba pelanggan, ia digemari dan mendapat permintaan.

“Paling kurang sebanyak 200 telur terjual sehari di kedai di Dungun manakala di Kafe Bas MAMBS jualan dihadkan hanya sebanyak 100 telur sehari.

“Secara khususnya saya tidak pasti khasiat telur power ini kerana tidak pernah membuat ujian secara klinikal, tetapi rata-rata pelanggan mendakwa ia mengekalkan kesihatan badan dan menghilangkan lenguh pada bahagian pinggang,” katanya.

Tajudin berkata, selepas 20 tahun, dia membenarkan telur power dihidangkan oleh peniaga lain iaitu di Kafe Bas MAMBS.

Pelanggan, Ismail Bakar, 63, dari Kampung Ladang, berkata, dia pertama kali mencuba hidangan telur power itu dan mula menyukainya.

“Sebelum ini pernah makan telur separuh masak dengan madu saja tetapi tidak sesedap telur power yang turut diadun dengan herba ini.

“Rasanya agak pedas dan berangin kerana campuran herba menghangatkan badan yang kesejukan pada musim hujan sekarang,” katanya.

TAJUDIN menyediakan telur power di Kafe Bas Masjid Al Muktafi Billah Shah sambil diperhatikan pelanggan. Gambar kecil, Ismail menunjukkan telur power yang disajikan di Kafe Bas.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.