Papar isu kemurungan

Harian Metro - - Selebriti - Sudirman Mohd Tahir sudirman@hmetro.com.my

Syurgaku Tak Sempurna 2 mulakan penggambaran Khamis lalu

Syurgaku Tak Sempurna yang ditayangkan saluran Hypp TV tahun lalu meraih 4.3 juta tontonan sekali gus menjadi drama pertama paling ramai ditonton di saluran itu.

Berita gembira itu dikongsi penerbit syarikat Darkwave Pictures Sdn Bhd, Datuk Rafiena yang menyifatkan ia kejayaan luar biasa drama lakonan Raja Ilya dan Shah Iskandar bersama pelakon lain dan pasukan produksi.

Bertitik tolak daripada situ, Rafiena, 36, atau nama sebenarnya Rafiena Ezanee Ramli bakal menerbitkan sekuel drama itu, Syurgaku Tak Sempurna 2 (STS 2) yang memulakan penggambaran Khamis lalu.

Bagi menambahkan elemen dramatik dalam cerita kali ini, Rafiena berkata, STS 2 menyelitkan isu kemurungan.

“Isu kemurungan memang berlaku dalam kehidupan sebenar. Malah, ia mungkin terjadi kepada ahli keluarga atau orang sekeliling yang kita kenal.

“Cuma, ramai tak tahu masalah ini berlaku tanpa kita sedar. Bagi yang terkena, sukar untuk dipastikan mereka dalam keadaan murung atau tidak.

“Pendek kata, kita tak boleh ambil mudah isu ini. Sesiapa yang mengalaminya kena dapatkan rawatan daripada pakar. Disebabkan itu, orang sekeliling kena lebih peka.

“Isu ini sudah diketengahkan dalam STS dulu, cuma dalam STS 2 kita nak tunjuk bagaimana kemurungan yang dialami Zalia lakonan Raja llya membawa kepada lebih banyak masalah dalam hidupnya dan orang sekeliling,” tanya.

Menurut Rafiena,

STS 2 bukan sekadar tontonan dan hiburan semata, sebaliknya mahu mesej yang disampaikan memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kesan serta bahana kemurungan jika dialami orang yang disayangi.

“Kebanyakan drama saya sebelum ini akan diselitkan mesej yang mendidik penonton.

Kita tak nak drama yang dipaparkan ditonton begitu saja.

“Jadi, menerusi STS 2 ini saya berharap mesej yang disampaikan berguna buat penonton. Ia boleh dijadikan panduan untuk mengelak daripada terjadinya masalah ini bukan saja untuk diri sendiri tetapi juga orang lain,” katanya.

Selain isu itu, kelainan yang cuba dibawa STS 2 adalah menampilkan pelakon hebat Haliza Misbun yang melakonkan watak Farisha iaitu kakak kepada Fariena lakonan Uqasha Senrose yang juga isteri kedua Tengku Zarif (Shah Iskandar).

Malah, dalam STS 2 juga Rafiena menggunakan khidmat pemenang kategori Pengarah Harapan pada Festival Filem Malaysia ke-27 (FFM 27) menerusi filem Ophilia iaitu Raja Mukhriz Raja Ahmad.

“Dalam STS 2 watak Fariena sudah tak wujud, tetapi kita munculkan watak kakak Fariena iaitu Farisha lakonan Haliza Misbun. Selain itu, kita juga ketengahkan watak kekasih kepada Farisha lakonan Datuk Eizlan Yusof.

“Selain itu, ada beberapa watak baru yang cukup kuat diwujudkan bagi menghidupkan lagi jalan cerita ini. Ia terdiri daripada pelakon lama dan baru. Bagi pelakon baru, saya mengadakan sesi uji bakat.

“Insya-Allah, drama 30 episod ini bakal ditayangkan Mac tahun depan. Saya berharap, proses penggambaran berjalan lancar dan drama ini disukai penonton,” katanya.

Selain kejayaan itu,

STS juga mencatat jumlah tontonan tertinggi di saluran Suria TV Media Corp, Singapura.

“Dengan semua kejayaan diraih, saya berasa tak salah jika buat sekuel drama ini. Agak mencabar kerana saya perlu fikirkan cerita yang kuat.

“Selain itu STS2 ditayangkan menerusi saluran Hypp TV dan bukan saluran televisyen komersial. Malah, STS 2 juga menjadi drama sekuel pertama yang ditayangkan saluran itu,” katanya.

Perkembangan lain, Rafiena menubuhkan syarikat pengurusan bakat yang diberi nama Darkwave X Dre.

Menerusi syarikat itu, Rafiena bersama pasukan akan memilih beberapa pelakon baru daripada uji bakat dibuat baru-baru ini untuk bernaung bawah syarikat itu.

“Saya sudah ada produksi sendiri, jadi saya boleh gunakan mereka untuk berlakon dalam setiap produk terbitan saya. Pada masa sama, kita boleh kembangkan bakat lakonan mereka.

“Saya juga bercadang mengadakan kelas intensif buat mereka seperti kelas lakonan, perhubungan awam, ketrampilan diri dan banyak lagi. Saya tak nak mereka sekadar berlakon sebaliknya boleh buat macam-macam,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.