RENTUNG DALAM KERETA

Harian Metro - - Global - Agensi

„ Sembilan maut kebakaran hutan di Utara California termasuk terbakar hidup-hidup

Sekurang-kurangnya sembilan orang maut termasuk lima mangsa yang mati dibakar hidup-hidup dalam kereta apabila disambar api ketika cuba melarikan diri daripada kebakaran hutan di Utara California, Amerika Syarikat.

Selain itu, 35 orang dilaporkan masih hilang manakala ribuan kediaman di Selatan California diancam kebakaran hingga memaksa penduduk termasuk di kawasan Malibu berpindah segera.

Reuters melaporkan, beberapa selebriti yang tinggal di Malibu seperti Lady Gaga dan Kim Kardashian turut terpaksa berpindah.

Malibu dan Calabasas ialah kediaman kepada ratusan selebriti dan eksekutif hiburan yang tertarik dengan pemandangan indah tepi laut, kawasan bukit serta aset mewah jauh daripada kesibukan orang ramai.

Antara penghuni terkenal mendiami kawasan itu adalah Barbra Streisand, Tom Hanks dan Britney Spears.

Laman web selebriti TMZ melaporkan rumah mewah Caitlyn Jenner iaitu personaliti transgender terkenal Amerika musnah dalam kebakaran itu semalam.

Sejak meletus Khamis lalu, ia merebak lebih tiga kali ganda kepada 2,838 hektar selepas memusnahkan Paradise, pekan dihuni hampir 30,000 penduduk dan hanya berjaya dikawal sekitar 5 peratus sehingga malam semalam.

Sementara itu, Daily Mail melaporkan, pihak berkuasa mengesyaki kebakaran berpunca daripada aliran bekalan elektrik ke kawasan berkenaan.

Mereka menjelaskan, lima mangsa ditemui rentung dalam kenderaan masing-masing, tengah hari kelmarin manakala empat lagi ditemui terbunuh pada malam hari yang sama.

Kebakaran hutan berlaku lebih lambat kali ini berbanding biasa dan dipercayai akibat keadaan lebih kering disebabkan kekurangan hujan ketika musim luruh.

BOMBA berusaha mengawal kebakaran. - Daily Mail

PENDUDUK menyelamatkan diri daripada kebakaran. - Daily Mail

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.