Harian Metro

The Citizens tak gentar bertemu United

-

London: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola langsung tidak memikirkan betapa pertemuan tetangga menentang Manchester United, awal pagi esok akan menentukan hala tuju kempen skuad kendaliann­ya musim ini.

Begitupun, pengurus kelahiran Sepanyol itu bertekad untuk tidak mengulangi kekalahan pada musim lalu di tangan lawan yang sama.

City mengawal perlawanan menentang United pada aksi di Etihad musim lalu dengan mendahului 2-0 pada babak pertama tetapi United kendalian Jose Mourinho bangkit untuk menang 3-2.

“Kami perlu bermain dengan baik,” kata Guardiola. “Jika kami bermain dengan baik, kami berpeluang untuk menang.

Kami tidak boleh menggambar­kan yang kami akan bermain dengan sempurna menentang pasukan terbaik.

“Saya gembira kami bermain seperti musim lalu di mana kami mendahului selepas 75 minit perlawanan berlangsun­g tetapi United menunjukka­n kepada kami mereka hanya memerlukan 15 minit untuk mencipta peluang.

“Apabila mereka meraih bola, mereka boleh mencipta sesuatu kerana mereka mempunyai pemain yang cukup berbakat.”

Kedua-dua pasukan berada di prestasi terbaik ketika ini dengan United yang menghuni tangga ketujuh liga sudah mengharung­i tiga kemenangan berturut-turut manakala pendahulu, City sudah melalui 11 perlawanan tanpa kalah dalam semua kejohanan.

Guardiola mengakui teruja menantikan perlawanan berkenaan tetapi percaya ia tidak memberi makna terhadap pemburuan kejuaraan.

“Kita baru memasuki November jadi perlawanan di Old Trafford (pada Mac) mungkin lebih kepada penentu. Sudah tentu perjalanan kami ketika ini bagus. Tetapi United juga sama. Ia perlawanan tetangga yang baik. Semuanya adalah istimewa.” Reuters

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia