Harian Metro

Perebutan jawatan tak retak pucuk pimpinan parti

-

Julau: Keputusan pemilihan jawatan Timbalan Presiden PKR diyakini tidak mencetuska­n keretakan dalam kalangan pucuk pimpinan parti berkenaan.

Calon bagi jawatan nombor dua parti itu, Rafizi Ramli berkata, PKR adalah parti yang sudah biasa menghadapi krisis dan bersedia menghadapi apa sahaja seterusnya menyelesai­kannya dengan cara parti.

Beliau bagaimanap­un mengakui, persaingan sengit di antara beliau dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, menyebabka­n ada yang melihatnya sebagai tanda keretakan parti.

“Memang ini (perebutan jawatan Timbalan Presiden) persaingan paling sengit dalam sejarah PKR dan ia berlaku ketika kita dalam kerajaan.

“Saya memberi jaminan tidak akan berlaku keretakan kerana kami reformis yang sudah 20 tahun berjuang, bersuara demi keadilan dan kami sudah biasa sangat dengan pelbagai krisis,” katanya di pusat pengundian Cabang Julau di Kompleks Sukan Julau, di sini, semalam.

Rafizi berkata, beliau yakin, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sudah memenangi jawatan presiden parti itu akan merapatkan semula semua ahli parti selepas pemilihan nanti.

“Apa yang penting dalam PKR ialah semua pihak harus menghormat­i Datuk Seri Anwar dan menerima sepenuhnya beliau sebagai pemimpin parti.

“Soal siapa kalah, siapa menang dalam pertanding­an ini bukan keutamaan kerana yang penting kita berdiri teguh di belakang Datuk Seri Anwar,” katanya.

Sementara itu, Rafizi yakin dua cabang PKR, Julau dan Pensiangan yang memiliki ahli ramai akan memberi sokongan padu kepadanya.

“Julau mempunyai 13,000 ahli dan Pensiangan ada 11,000 ahli dengan masing-masing 4,000 ahli akan mengundi hari ini.

“Majoriti ahli di dua cabang itu adalah penyokong saya yang saya yakin sokongan itu terus diterjemah­kan hari ini,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia