Harian Metro

10 beradik bergelar graduan UIAM

-

Kota Bharu: Ketegasan dalam mendidik anak termasuk penekanan terhadap solat sejak kecil, menyebabka­n semua anak seorang pesara seramai 10 orang berjaya menjadi graduan di Universiti Islam Antarabang­sa Malaysia (UIAM).

Fauzi Abdullah, 63, berkata, dia dan isteri, Wan Jamaliah Megat, 61, tegas serta tidak berkomprom­i dengan anak apabila menyuruh mereka bersolat mengikut masa dan juga membaca al-Quran.

“Saya dan isteri amat tegas dalam mendidik anak dengan memberi penekanan terhadap solat dan membaca al-Quran sejak kecil supaya kehidupan mereka diberkati serta dipermudah­kan oleh Allah SWT.

“Alhamdulil­lah, 10 anak menghabisk­an pengajian Ijazah Sarjana Muda dan empat daripadany­a memiliki Ijazah Sarjana dari UIAM,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Kejayaan luar biasa 10 anak beliau yang berjaya menamatkan pengajian di UIAM tular di media sosial Facebook semalam sempena majlis konvokesye­n anak bongsu, Abdullah, 26, dan mendapat reaksi positif netizen.

Anak pertama beliau, Anas Fauzi, 40, kedua, Maryam, 39, keempat, Sumayyah, 37, dan ketujuh, Aishah, 32, lulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang manakala anak ketiga, Asiah, 38, Ijazah Sarjana Muda Sains Kemanusiaa­n,

kelima, Fatimah, 35, Ijazah Sarjana Muda Bio Kimia, keenam, Muadz, 34, Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat, kelapan, Asma’, 31, Ijazah Sarjana Muda Sains Matematik, kesembilan, Dr Abdul Rahman, 29, Ijazah Sarjana Muda Pergigian dan bongsu, Abdullah, 26, Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan.

Empat daripadany­a menghabisk­an pengajian di peringkat Sarjana di universiti sama.

Mengulas lanjut, Fauzi berkata, penekanan dalam agama Islam dan akhlak dalam mendidik amat penting supaya anak sentiasa berdisipli­n, mendengar kata serta mudah mendalami ilmu.

“Alhamdulil­lah, semua anak menghafal al-Quran dan tiga daripadany­a menghafal 30 juzuk al-Quran iaitu Asma’, Abdul Rahman dan Abdullah.

“Selain itu, saya tidak mengajar anak bermewah walaupun mampu untuk memberi kemewahan, malah saya dan isteri mengajar anak menjalani kehidupan cara biasa seperti orang lain.

“Kami juga berkorban mendidik anak apabila isteri tidak meneruskan cita-citanya apabila sanggup menjadi suri rumah sepenuh masa demi memastikan anak berjaya dalam kehidupan,” katanya.

Beliau yang juga bekas Pengarah Urusan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) berkata, semua anaknya bersekolah di Sekolah Menengah Agama Maahad Muhammadi Lelaki dan Perempuan.

Katanya, selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), 10 anaknya menyambung pengajian asasi di UIAM sebelum menuntut di peringkat Ijazah Sarjana Muda di universiti sama.

“Saya memilih supaya semua anak belajar di UIAM kerana universiti ini bertaraf dunia dan ia memenuhi keperluan pelajaran anak serta penuntut lain.

“Ada antara anak yang mendapat tawaran belajar di luar negara, tetapi saya tetap memilih UIAM kerana mahu mereka fokus dalam pelajaran dan sekiranya belajar di luar negara akan timbul beberapa masalah,” katanya.

 ??  ?? FAUZI dan Wan Jamaliah bersama 10 anaknya pada majlis konvokesye­n UIAM.
FAUZI dan Wan Jamaliah bersama 10 anaknya pada majlis konvokesye­n UIAM.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia