Harian Metro

Khabar gembira

- Jugjet Singh jugjet@nst.com.my

„ Kumar kembali cergas untuk beraksi di Piala Dunia

Dua khabar gembira sudah cukup untuk menggembir­akan jurulatih skuad hoki kebangsaan, Roelant Oltmans ketika beliau menamakan senarai 18 pemain yang bakal menggalas tanggungja­wab negara di Piala Dunia yang dijadualka­n berlangsun­g di Bhubaneswa­r, India, 28 November hingga 16 Disember ini.

Pertama, penjaga gol utama negara, S Kumar sah cergas untuk bermain dan kedua, Malaysia diundi bertemu Belanda pada perlawanan pertama pada 1 Disember.

Meskipun rekod Malaysia ke atas Belanda tidak begitu membanggak­an, Oltmans yang berasal dari negara itu percaya mereka mampu mengubah keputusan kali ini.

“Kumar disahkan cergas sepenuhnya untuk aksi Piala Dunia dan dia sudah boleh menggengga­m kayu seperti biasa. Minggu lalu, tangannya masih sakit,” kata Oltmans.

Kumar cedera di bahagian ibu jari tangan kanan dan masalah itu dialami ketika Sukan Asia. Walaupun dia berada dalam senarai pemain ke Piala Juara Asia di Oman sebelum ini, Kumar langsung tidak diturunkan.

Ketika ini, jurulatih penjaga gol dari Belanda, Martijn Drijver berada di ibu negara dan beliau sedang berusaha memastikan Kumar siap untuk bermain.

“Kecederaan itu sudah sembuh dan kini terpulang kepada Kumar untuk mengatasi masalah trauma yang dialaminya. Ia hanya soal psikologi saja,” kata Oltmans.

Mengenai perlawanan pembukaan menentang Belanda, beliau berkata: “Mereka (Belanda) menduduki ranking yang jauh lebih baik (ke-4) dan mereka mempunyai pemain yang bagus. Walaupun kita sudah lama tidak bertemu mereka, saya masih lagi kenal dengan keupayaan pemain mereka.

“Memang ia perlawanan sukar tetapi kami akan bermain dengan gaya sendiri dan tidak akan terikut-ikut dengan lawan. Saya harap kami akan dapat mencuri peluang yang ada,” kata Oltmans.

Skuad kebangsaan jarang bertemu Belanda dan kali terakhir kedua-dua pasukan berentap ialah di Kejohanan Juara-Juara di Kuala Lumpur, 11 tahun lalu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia