Harian Metro

Kim Swee yakin mampu lepas kelayakan AFC

- Aziman Rosdi aziman@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Jurulatih skuad bawah 23 tahun negara (B-23) Datuk Ong Kim Swee percaya mereka mampu melepasi kempen kelayakan Piala Konfederas­i Bolasepak Asia (AFC) di Kuala Lumpur pada 22 Mac tahun depan secara merit meskipun China bakal memberi halangan terbesar.

Malaysia diundi bersama China, Laos dan Filipina dalam misi memburu slot 16 pasukan terbaik untuk mara ke pusingan terakhir di Bangkok Thailand pada Januari 2020.

Bagi Kim Swee, tiada yang mustahil untuk anak buahnya melakar kejutan selepas layak secara merit pada edisi sebelum ini sebagai juara kumpulan di peringkat kelayakan dan mara ke suku akhir di kejohanan sebenar di China awal tahun ini.

“Kalau mengikut undian, China adalah halangan terbesar kita tapi kita tak boleh memandang rendah Filipina dan Laos, mereka ada program persiapan pasukan yang baharu.

“Apa yang penting adalah persiapan kita dan jika mengikut perancanga­n saya percaya kita mampu layak secara merit sekali lagi tetapi bukan jalan yang mudah untuk kita layak secara merit jika tidak mempunyai perancanga­n yang betul,” katanya kepada Sukan NSTP semalam.

Sebanyak 44 pasukan berentap dalam 11 kumpulan dengan juara kumpulan layak ke pusingan akhir bersama tuan rumah Thailand serta empat pasukan tempat kedua terbaik.

Kim Swee masih mempunyai beberapa pemain daripada skuad sebelum ini yang masih layak untuk beraksi pada kelayakan tahun depan termasuk Safawi Rasid, Akhyar Rashid, Daniel Amir Norshisham dan Haziq Nadzli.

Menurut bekas jurulatih kebangsaan itu, beliau sudah mengenal pasti pemain yang akan memulakan latihan pusat pertama pada hujung bulan ini.

“Persiapan kita bermula pada penghujung bulan November di mana kita akan bermain dalam Piala Newspaper di Vietnam. Pemain berusia 21 tahun yang saya kenal pasti daripada skuad Piala Presiden, SUKMA dan pemain yang masih boleh beraksi dengan kita seperti Daniel Amir dan beberapa pemain lain kemungkina­n akan bersama kita di Vietnam.

“Selepas itu pada Januari kita akan mengadakan latihan selama 20 hari , 10 hari di Kuala Lumpur dan 10 hari lagi di luar negara bagi aksi persahabat­an di mana pada Februari saya akan mengumpul pemain terbaik untuk Piala AFF di Kemboja sebelum pusingan kelayakan,” kata Kim Swee.

Kejohanan AFC B-23 ini amat penting buat skuad muda negara kerana ia menyediaka­n tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

 ??  ?? KIM Swee (kiri) memberi arahan kepada pemain skuad B-23.
KIM Swee (kiri) memberi arahan kepada pemain skuad B-23.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia