Harian Metro

Bayar kompaun istimewa RM15

-

Kuala Lumpur: Warga kota wajar menarik nafas lega apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menawarkan denda kompaun istimewa serendah RM15 bagi kes tunda kenderaan kerana menghalang lalu lintas bermula 1 November lalu.

Pengarah Jabatan Penguatkua­sa DBKL, Azman Mahmood berkata, tawaran itu bagaimanap­un hanya sah jika pemandu kenderaan terbabit membayar kompaun itu dalam tempoh 48 jam.

Pada masa sama, katanya, kompaun itu harus disertakan dengan bayaran upah tunda kenderaan berjumlah RM100.

“Jika individu terbabit membayar kompaun itu sejurus kenderaan mereka ditunda, bayaran yang dikenakan adalah RM115.

“Bayaran tambahan jika kenderaan ditunda disimpan melebihi 24 jam di Depoh Sentul DBKL (RM100 sehari).

“Mengikut perkiraaan sebelum 1 November lalu, kompaun dikenakan sebanyak RM150, upah tunda kenderaan (RM100) dan upah simpan kenderaan di Depoh Sentul DBKL (RM100 sehari).

“Kalau diikutkan selepas dua hari, upah simpan kenderaan berjumlah RM200 disertakan dengan kompaun RM150 dan upah tunda RM100 menjadikan ia berjumlah RM450.

“Terlalu banyak perbezaan RM115 dan RM450 itu, potongan harga sebanyak RM335, maka orang ramai disarankan untuk menyelesai­kan masalah itu secepat mungkin.

“Ketika ini, DBKL masih tidak menetapkan sampai bila kompaun istimewa itu akan ditawarkan,” katanya kepada wartawan, baru-baru ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia