Pelbagaikan gaya, fungsi

Harian Metro - - Global - DARI MUKA 71

“Semua hasil penjualan beg tangan buatan asli ini disalurkan kembali kepada masyarakat Penan dengan cara PWP membeli beg daripada wanita Penan dan membantu memasarkannya dalam pameran, bazar dan hari jualan di Miri dan Kuching, Sarawak; Kota Kinabalu, Sabah; Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

“Sesetengah sukarelawan juga menganjurkan jualan di tempat sendiri dengan sokongan daripada rakan mereka. Kami turut menempatkan koleksi beg di Hotel Verdant Hill, Kuala Lumpur untuk memudahkan pembeli di Semenanjung Malaysia mendapatkannya di sini.

“Apabila membeli beg anyaman Penan, ketahuilah anda membantu menyokong seluruh masyarakat Penan,” kata Pengasas Bersama PWP Ann Wong Shih En.

Kesempatan bertemu mata dengan Ann begitu mengujakan. Banyak kisah menarik dan memberi inspirasi khususnya terhadap usaha dan semangat anak jati Kuching, Sarawak ini membantu masyarakat di negeri kelahirannya sendiri.

Menurutnya, rekaan anyaman dianggap percubaan pertama mengubah untuk persepsi beg seumpama itu hanya digunakan untuk dibawa ke pasar.

Katanya, dia cuba keluar daripada kepompong dengan mempelbagaikan gaya, kegunaan dan fungsi beg berkenaan serta membawanya ke tahap berbeza.

Misalnya, beg bimbit yang lazimnya dibawa ke pasar untuk mengisi barang basah, diberi nafas baru menerusi kepelbagaian motif dan permainan warna agar ia boleh dibawa melaram di majlis rasmi dan ke pejabat untuk menyerlahkan penampilan anggun.

Menurut Ann, pembabitannya dengan

PWP bermula selepas dia mengikut suaminya berpindah ke Miri dan aktif menjadi sukarelawan bagi program kebajikan di sekitar bandar itu.

Dari situ katanya, dia bertemu Pengasas PWP, Shida Mojet dan menyampaikan hasrat untuk menjadi sukarelawan dalam projek itu.

Berbekalkan pengetahuan dan latar belakang pendidikan berkaitan rekaan grafik,

Ann mula memberi idea untuk menaikkan taraf beg anyaman yang dihasilkan wanita Penan dengan membaiki kualiti dan hasil kerja lebih kemas selain menawarkan fungsinya yang lebih daripada sekadar beg tangan.

“Saya mendapat pendidikan tinggi di Amerika Syarikat dalam bidang rekaan grafik dan pernah bekerja di sana selama 10 tahun sebagai pereka grafik.

“Kemudian saya kembali ke kampung halaman di Kuching, berkahwin dan mengikut suami pindah ke Miri. Selain menjaga anak kembar kami sendiri, saya masih meneruskan pekerjaan sebagai pereka grafik sambilan.

“Pengalaman dalam bidang seni reka grafik menjadikan saya seorang yang amat peka dalam soal komposisi warna, reka bentuk dan hasil seni beg tangan yang dihasilkan wanita Penan ini.

“Saya bertanggungjawab menjadikan rekaan beg itu sesuai mengikut trend semasa untuk menarik minat orang membeli.

“Walaupun kami memberi kebebasan untuk mereka tampil dengan corak tertentu pada beg yang dihasilkan, saya perlu memastikan padanan warna bersesuaian selain memantau kualiti setiap beg supaya ia memenuhi standard yang kita mahu,” katanya.

Sehingga kini, terdapat kira-kira 60 wanita Penan yang terbabit dengan projek itu dan mereka mampu menghasilkan antara 600 hingga 900 beg sebulan.

Menurutnya, PWP menyediakan semua bahan yang mereka perlukan. Sukarelawan PWP akan membimbing wanita ini dengan memilih dan memadankan reka bentuk dan warna, serta memeriksa kualiti beg buatan tangan ini.

Katanya, bagi projek anyaman itu, tali plastik digunakan kerana kos efektif, tahan lama dan terdapat dalam warna yang bergaya, sesuai untuk tenunan beg.

Penggunaan bahan itu juga katanya, memanjangkan tempoh hayat berbanding teknik pembuatan tradisional menggunakan rotan dan mengkuang.

Wanita Penan menggunakan plastik ini untuk menenun mengikut pola warisan mereka seperti tumbuhan, binatang dan serangga yang mempunyai makna tersendiri menjadikan beg yang menarik untuk dijual.

“Menjaganya juga tidak susah iaitu hanya perlu mengelap bahagian yang kotor dengan tisu dan kain lembap.

“Setiap beg atau bakul membawa tag yang menyenaraikan nama wanita Penan yang membuat beg itu. Ia 100 peratus dibuat dengan tangan dan tiada rekaan sama berulang kali dikeluarkan.

“Memang kami mahu keluarkan beg daripada rotan (cara tradisional) tetapi ia mengambil masa terlalu lama untuk dihasilkan kerana penuaian dan penyediaan rotan mengambil sekurangkurangnya tiga bulan.

“Tali plastik adalah pengganti moden - ia tahan lama, boleh dibasuh (ya, beg dan bakul anda boleh dibilas tanpa rasa bimbang) dan didatang dalam warna yang bergaya dan menarik. Warna ini menjadikan beg ini sangat kontemporari dan menarik,” katanya.

Selain projek tenunan, Persatuan Tenun Wanita Miri (MWWA) juga membantu masyarakat Penan dengan penjagaan kesihatan dan bersalin (membayar bil perubatan, menyediakan susu, makanan dan pakaian untuk ibu dan bayi).

Projek lain termasuk mengajar mereka menanam sayur-sayuran, membekalkan benih dan alat pertanian, mengumpul dan mengagihkan sumbangan dan melawat keluarga dan pelajar Penan di sekolah.

ANN (kiri) melayan pelanggan yang mahu membeli beg tenunan.

PRODUK yang siap ditunggu untuk penghantaran.

ANTARA proses awal membuat beg.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.