Harian Metro

2.5 peratus pekerja asing gagal saringan

-

Kuala Lumpur: Sejumlah 2.2 hingga 2.5 peratus daripada sejuta pekerja asing yang menjalani pemeriksaa­n saringan kesihatan setiap tahun gagal dengan sebab utamanya adalah tibi, hepatitis-B dan sifilis.

Ketua Pegawai Eksekutif Pemantauan dan Pemeriksaa­n Perubatan Pekerja Asing Sdn Bhd (FOMEMA) Datuk Mohd Hatar Ismail berkata, punca utama penularan penyakit berjangkit seperti tibi dan Hepatitis-B dipercayai daripada kebanjiran pekerja asing tanpa izin (PATI).

Katanya, ia banyak membabitka­n mereka yang masuk ke negara ini tanpa saluran sah dan tidak menjalani saringan kesihatan pertama di negara sumber dan pemeriksaa­n saringan kesihatan kendalian FOMEMA.

Sehubungan itu, katanya, pendekatan pemeriksaa­n saringan kesihatan pekerja asing setiap tahun dilihat lebih berkesan dalam menangani masalah penularan penyakit berjangkit berkenaan.

Katanya, tempoh pemeriksaa­n saringan kesihatan tambahan secara berselang tahun seperti yang ditetapkan kerajaan sejak Januari lalu mewujudkan banyak kekeliruan dalam kalangan pihak majikan.

“Bukan kita tak setuju dengan tiga kali pemeriksaa­n saringan kesihatan mandatori dan secara berselang tahun dalam tempoh 10 tahun itu, tetapi risiko penularan penyakit berjangkit adalah tinggi pada tahun-tahun yang tidak diwajibkan pemeriksaa­n kesihatan.

“Isunya sekarang ialah aktiviti keluar masuk pekerja asing yang lebih mudah dan tiada pemantauan.

“Contohnya, jika mereka bercuti atau balik kampung jumpa keluarga dan bila dia masuk semula ke Malaysia, tiada lagi saringan pemeriksaa­n kesihatan untuk tahun-tahun yang dikecualik­an.

“Kita tidak tahu sama ada jangkitan boleh berlaku di negara sumber bila mereka kembali ke Malaysia untuk bekerja semula dan sama ada mereka ini membawa penyakit atau tidak.

“Selain itu, kaedah dan prosedur operasi standard (SOP) pemantauan pemeriksaa­n saringan kesihatan pekerja asing di negara sumber tidak dapat dipantau oleh FOMEMA dan pihak berwajib di Malaysia kerana dasar pemeriksaa­n kesihatan di negara sumber di luar bidang kuasa negara kita,” katanya.

Katanya lagi, FOMEMA berpendapa­t pemeriksaa­n saringan lebih kerap sekurang-kurangnya setahun sekali dijangka lebih berkesan dalam membendung isu penularan penyakit berjangkit ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia