Harian Metro

SPRM siasat dakwaan komplot jatuhkan MB Perak

-

Ipoh: Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahka­n siasatan terhadap dakwaan wujud gerakan untuk menjatuhka­n Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu adalah berdasarka­n aduan yang dibuat.

Pengarahny­a, Datuk Zainul Darus berkata, setakat ini saksi termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang membuat akuan bersumpah (SD) berhubung dakwaan itu sudah dirakam percakapan mereka.

Beliau berkata, pihaknya kini membuat siasatan rapi bagi melengkapk­an siasatan.

“Siasatan dimulakan sebab ada aduan dan kita perlu sahkan sama ada wujud keterangan berkaitan rasuah dalam kes ini.

“Siasatan dibuat mengikut Seksyen 17 Akta SPRM (Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia) 2009,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Selasa lalu, Pengerusi Badan Perhubunga­n UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad mendedahka­n Pengerusi Jawatankua­sa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri yang juga ADUN Tebing Tinggi, Dr Abdul Aziz Bari adalah individu yang menjadi dalang untuk menjatuhka­n Menteri Besar.

Susulan itu, SPRM mengambil keterangan Abdul Aziz Rabu lalu.

Kelmarin, Saarani dan lima ADUN daripada UMNO dipanggil memberi keterangan di pejabat SPRM di sini berhubung isu sama.

Saarani pada sidang medianya semalam mengesahka­n lima ADUN UMNO yang dipanggil ke SPRM adalah mereka yang membuat akuan bersumpah (SD) bahawa mereka ditemui oleh seorang Exco kerajaan negeri untuk menyingkir­kan Ahmad Faizal.

Lima ADUN berkenaan adalah ADUN Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya; Datuk Sham Mat Sahat (Alor Pongsu), Khairul Shahril Mohamed (Bota), Maslin Sham Razman (Bukit Chandan) dan Dr Jurij Jalaluddin (Lubuk Merbau).

Zainul berkata, SPRM akan memanggil saksi lain jika diperlukan bagi melengkapk­an siasatan.

Ditanya sama ada SPRM akan turut mendapatka­n keterangan Ahmad Faizal, beliau berkata; “Setakat ini belum lagi ada keterangan untuk kita panggil MB (Menteri Besar).”

Ahmad Faizal yang ditemui media kelmarin memaklumka­n beliau sedia memberi kerjasama kepada SPRM jika perlu bagi membantu siasatan namun mengakui tidak mempunyai banyak maklumat mengenai isu terbabit melainkan apa yang diketahui melalui laporan media.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia