Seorang mati nahas setiap 24 saat
Geneva: Nahas jalan raya membunuh seorang setiap 24 saat, dengan keseluruhannya 1.35 juta kematian akibat kemalangan lalu lintas di seluruh dunia setiap tahun, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia semalam yang mendesak tindakan global terhadap masalah itu.
Jumlah kematian setiap tahun meningkat 100,000 dalam hanya tiga tahun, dengan nahas jalan raya kini punca utama kematian kanak-kanak dan orang muda antara usia lima hingga 29 tahun, kata agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu dalam laporan terbarunya.
Ketuanya Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata dalam satu kenyataan: “Kematian ini harga yang tidak boleh diterima yang perlu dibayar untuk mobiliti.
“Tiada alasan untuk tidak bertindak. Ia masalah yang ada penyelesaiannya,” katanya.
Laporan Status Global WHO mengenai Keselamatan Jalan Raya, berdasarkan data dari 2016, menunjukkan keadaan semakin teruk.
Dalam laporan terakhirnya berdasarkan data dari 2013, jumlah kematian nahas lalu lintas dianggarkan 1.25 juta setahun.
Bagaimanapun, walaupun jumlah kematian meningkat, kadar kematian berbanding peningkatan manusia dan kereta di seluruh dunia menjadi stabil dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
“Ini membayangkan usaha keselamatan jalan raya sedia ada di beberapa negara pendapatan sederhana dan tinggi mengimbangkan keadaan,” katanya. - AFP