KELENTONG TERHEBAT

Harian Metro - - Setempat - Mohd Roji Kawi [email protected]

Wanita jatuh cinta dengan jejaka dakwa tinggal di Amerika Syarikat tertipu RM913,505

Terpaut dengan janji manis lelaki yang dikenalinya menerusi media sosial menyebabkan seorang wanita mendakwa mengalami kerugian RM913,505 dalam kejadian di sini, antara April hingga 5 Disember lalu.

Wanita berusia 51 tahun yang juga broker perumahan itu berkenalan dengan seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Chen Wei menerusi Facebook pada April lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak Superintendan Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, Chen Wei mendakwa warga Malaysia tetapi menetap di Amerika Syarikat.

“Sejak perkenalan itu, mangsa sering berhubungan dengan suspek menerusi aplikasi WhatsApp dan pertengahan bulan Mei 2018, suspek (Chen Wei) memberitahu mangsa dia mahu datang ke Malaysia untuk menguruskan perniagaan dan projek di sini,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Bagaimanapun, katanya, suspek memberitahu mangsa dia menghadapi masalah dan ditangkap polis Malaysia kerana terbabit dengan pengubahan wang haram dan memohon bantuan meminjam wang.

“Simpati dengan masalah yang dimaklumkan suspek, mangsa memasukkan wang RM2,000 dari sebuah bank di Sarikei pertengahan Mei.

“Selepas itu, mangsa membuat pembayaran secara berperingkat 22 transaksi ke akaun yang berbeza dan turut menyerahkan wang tunai berjumlah RM10,000 kepada seorang wanita di Hotel S Damansara, Kuala Lumpur, 17 Julai lalu.

“Pada masa yang sama mangsa menghantar pasport antarabangsa beliau menerusi pos kepada suspek dengan tujuan untuk mendapatkan permohonan visa Amerika Syarikat,” katanya. Menurutnya, selepas membuat transaksi dengan jumlah keseluruhan menjangkau RM913,504 dan menyerahkan pasport antarabangsanya, mangsa akhirnya menyedari ditipu dan membuat laporan untuk tindakan lanjut.

Mustafa Kamal berkata, kerugian yang dialami wanita itu adalah yang kedua terbesar dialami mangsa penipuan di negeri itu tahun ini selepas seorang lelaki yang bertugas sebagai jurutera kerugian RM985,000 Januari lalu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.