Harian Metro

Dendam Jessica berbalas akhirnya

- Jumiati Rosly jumiati@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Pemain Sabah, Jessica Keng berjaya membalas dendam terhadap Aira Azman apabila menewaskan lawan dari Kedah itu pada separuh akhir Kejohanan Terbuka Remaja Kuala Lumpur ke-12 di Pusat Skuasy Nasional, Bandar Sukan Kuala Lumpur, semalam.

Jessica, 16, yang diletakkan sebagai pilihan utama kategori wanita bawah 19 tahun berkata, dia sebelum ini dikejutkan dengan kekalahan 1-3 kepada Aira, 14, di Kejohanan Skuasy Remaja Yayasan CIMB di Pulau Pinang, Mei lalu.

“Saya memang mahu menang hari ini, apa lagi mempunyai keyakinan yang lebih selepas tewas kepada pemain lebih muda (Aira) sebelum ini.

“Walaupun pada mulanya saya agak tertekan kerana ketinggala­n 2-1, tetapi saya cuba membaiki kelemahan dengan banyakkan bermain di bahagian belakang dan selepas itu saya mula dapatkan mata demi mata untuk menang 3-2,” katanya selepas mencatatka­n 11-9, 8-11, 8-11, 11-6, 11-8 untuk menempah tiket ke final hari ini.

Jessica akan bertemu pilihan kedua, Ooi Kah Yan dari Negeri Sembilan yang sebelum itu menundukka­n pemain Kuala Lumpur, Noor Ainaa Amani Ampandi 11-6, 11-9, 1-11, 11-8.

Perlawanan akhir lelaki bawah 17 tahun pula bakal menyaksika­n dua rakan baik, Kiven Shanmugam dari Kedah dan Ishant Shah Atul Kumar dari Pulau Pinang.

Kiven menewaskan pemain Afrika Selatan, Reuel Videler 11-7, 11-4, 11-7 sementara Ishant Shah menewaskan pemain Mesir, Mohamed Zakaria Abdel Hammed Omar 11-4, 11-3, 11-7 di separuh akhir.

“Ishant Shah dan saya rakan baik di luar gelanggang tetapi untuk esok (hari ini) kami bersaing untuk melihat siapa muncul juara. Apa pun terjadi, kami masih kekal berkawan baik,” kata Kiven.

 ?? FOTO: ?? JESSICA (kiri) ketika menentang Aira.
FOTO: JESSICA (kiri) ketika menentang Aira.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia